KJ cabar kontinjen Sukan Para Asean sasar lebih 103 emas

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencabar kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN yang bermula 17-23 Sept ini melepasi sasaran 103 pingat emas. — Foto BernamaMenteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencabar kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN yang bermula 17-23 Sept ini melepasi sasaran 103 pingat emas. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 12 Sept — Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencabar kontinjen negara ke Sukan Para Asean yang bermula 17-23 Sept ini, untuk berjuang habis-habisan bagi melepasi sasaran 103 pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan di laman sendiri.

Beliau yakin kontinjen negara untuk temasya dwitahunan bagi atlet kelaianan upaya itu, mampu merealisasikan impian tersebut berdasarkan persiapan rapi semua pihak, termasuk atlet, jurulatih, persatuan-persatuan sukan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Bercakap pada perhimpunan akhir kontinjen negara di sini, Khairy turut mahu kontinjen negara yang dibarisi oleh atlet berpengalaman dan pelapis menjadikan kelainan upaya mereka sebagai kekuatan dan sumber inspirasi untuk melakar kejayaan. 

“Bagi atlet muda pelapis negara pula, inilah platform terbaik anda untuk menunjukkan keupayaan, seterusnya memacu diri untuk layak menyertai temasya  serta pertandingan tertinggi di peringkat dunia pula. Janganlah Sukan Para Asean 2017 ini menjadi penyertaan pertama dan terakhir anda dengan memberikan yang terbaik dan membuktikan kewibawaan masing-masing.  

“Pencapaian kita di Sukan Para Asean kali ini juga akan menjadi kayu pengukur   kepada persediaan kontinjen negara apabila kita untuk mempersiapkan kontinjen negara ke temasya Sukan Komanwel Atlet  Elit  Kelainan Upaya (EAD) dan Sukan Para Asia pada tahun depan,” katanya.

Pada edisi Singapura dua tahun lepas, kontinjen negara menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan selepas merangkul 52 pingat emas, 58 perak dan 37 gangsa.

Khairy, yang menyerahkan Jalur Gemilang kepada 16 wakil sukan yang terlibat, turut berharap kejayaan kontinjen negara pada Sukan SEA pada bulan lalu yang melepasi sasaran 111 pingat emas untuk muncul juara selepas meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa, mampu meningkatkan semangat juang para atlet negara.

“Jadi kali ini pula adalah giliran kontinjen Para untuk membuktikan bahawa saudara-saudari sekalian boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kontinjen Sukan SEA yang lalu,” katanya.

Kontinjen negara yang terdiri daripada 326 atlet dan 167 pegawai, akan menyertai 289 acara daripada 16 jenis sukan, termasuk olahraga, catur, memanah, berbasikal, bola sepak CP, tenpin boling dan bola keranjang kerusi roda.

Khairy turut menyeru orang ramai supaya hadir memberikan semangat dan sokongan kepada wira-wira seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli yang telah mengharumkan nama negara di peringkat Paralimpik. — Bernama



Sumber KJ cabar kontinjen Sukan Para Asean sasar lebih 103 emas

Post a Comment

Previous Post Next Post