KUALA LUMPUR, 20 Sept — Kesusahan hidup yang dialami keluarganya menjadi motivasi buat atlet para olahraga negara S. Thavanesvaran untuk berjaya dalam sukan yang diceburinya sehingga berjaya meraih dua pingat emas pada Sukan Para Asean (APG) 2017.
Thavanesvaran, 18, meraih pingat emas pertama semalam melalui acara 400m lelaki T44 (kecacatan anggota badan) dengan catatan 56.43 saat dan hari ini beliau sekali lagi melakukan larian pantas untuk emas keduanya pada temasya kali ini dalam acara 100m T42/43/44 (12.06s) selain membantu kuartet 4x100m negara (T42-T47) memungut perak.
Dibesarkan di kawasan ladang getah, anak kelahiran Segamat, Johor itu yakin kejayaan dalam bidang sukan akan membolehkannya untuk membantu keluarganya.
“Kedua ibu bapa saya merupakan penoreh getah dan saya percaya kejayaan ini merupakan titik permulaan untuk mengubah hidup keluarga. Saya dapat lakukannya (memenangi pingat emas) dalam penampilan sulung pada temasya ini.
“Pingat emas ini saya mahu hadiahkan kepada keluarga terutamanya ibu bapa yang banyak membantu saya selama ini, jurulatih dan rakan-rakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad Arshad itu sangat terhutang budi kepada abangnya yang mengesan bakatnya ketika dia masih kanak-kanak.
“Saya minat main bola sepak ketika waktu kecil dahulu namun setelah abang mendapati saya mempunyai larian yang amat pantas ketika bermain, beliau merasakan saya mampu pergi jauh dalam acara pecut.
“Abang juga selalu berpesan kepada saya untuk fokus dalam acara ini dan cuba menang emas,” katanya yang meletakkan sasaran untuk beraksi pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 nanti.
Sukan Para Asean yang berlangsung sehingga Sabtu ini menawarkan 368 pingat emas daripada 16 jenis sukan yang dipertandingkan. — Bernama
Sumber Lari laju, Thavanesvaran sumbang dua emas olahraga