KUALA LUMPUR, 20 Sept — Dua rakan masing-masing dihukum penjara lapan dan tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan rompak berkumpulan dan menyamar sebagai penguat kuasa Imigresen, tahun lepas.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dengan tiga sebatan terhadap Zulfikri Sawaluddin ,32, manakala Zulfakar Omardin,36, dihukum penjara tujuh tahun dengan dua sebatan atas pertuduhan rompak berkumpulan.
Bagi pertuduhan kedua, Zulfikri dan Zulfakar masing-masing dihukum penjara 16 bulan atas pertuduhan menyamar sebagai penguat kuasa Imigresen dan mahkamah memerintahkan kedua- dua tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula hari ini.
Dalam penghakimannya, Hakim Rohatul berkata pembelaan gagal menyangkal keterangan pendakwaan bahawa Zulfikri dan Zulfakar telah menyamar sebagai pegawai imigresen semasa hari kejadian.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas tujuh pekerja wanita pusat kecantikan dengan mengambil lima jenis telefon bimbit pelbagai jenama di sebuah pusat kecantikan De Touch Wellnes Beauty Centre, Taman Segar Cheras pada 6.30 petang, 23 Sept 2016.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menyamar sebagai penguat kuasa Imigresen di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohd Yusoff memohon kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kesan trauma yang dihadapi oleh mangsa selain ini kesalahan yang serius.
Bagaimanapun, peguam Zulkifli Awang yang mewakili mereka merayu agar mahkamah mempertimbangkan hukuman dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya.
“Kedua-dua anak guam saya ini merupakan penanggung utama keluarga, Zulfikri bekerja sebagai mekanik manakala Zulfakar bekerja kerani. Mereka masing-masing telah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah,”katanya.
Sebanyak tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu. — Bernama
Sumber Rompak jadi imigresen, dua lelaki kena penjara, sebat