SHAH ALAM, 29 Sept — DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) melantik Dr Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) berkuat kuasa 1 Oktober, 2017.
Li akan menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Kenali yang akan menamatkan perkhidmatan pada 30 Sept.
CEO yang baru dilantik, Li berkata cabaran itu tidak mudah tetapi beliau bersedia untuk menerima tanggungjawab tersebut.
“Saya dilantik untuk memulihkan Proton dan saya percaya Proton akan menjadi jenama tempatan nombor satu di negara ini dan jenama terkemuka di ASEAN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pengarah Urusan DRB-Hicom Group, Datuk Seri Syed Faisal Albar akan kekal sebagai Pengerusi Proton Holdings Bhd.
Ahli Lembaga Pengarah Proton yang lain ialah Shaharul Farez Hassan dan Amalanathan Thomas, kedua-duanya mewakili DRB-Hicom, dan Daniel Donghui Li dan Feng Qing Feng, kedua-duanya dari Geely.
Sementara itu, ahli Lembaga Pengarah PONSB adalah Syed Faisal (Pengerusi), Shaharul Farez, Amalanathan, Winfried Vahland, Daniel Li, Feng dan Dr Nathan Yu Ning.
Selain Vahland, yang lain juga ahli Lembaga Pengarah Proton Edar Sdn Bhd, unit milik penuh Proton.
DRB-Hicom memegang 50.1 peratus pegangan dalam Proton, yang juga memegang 100 peratus pegangan dalam PONSB, yang bertanggungjawab dalam pengeluaran utama, operasi, pembuatan dan pemasaran kumpulan automotif itu.
Sementara itu, Syed Faisal berkata ia tidak akan menjadi tugas yang mudah untuk memulihkan Proton susulan pasaran kini lebih rumit.
“Pengguna hari ini mempunyai pelbagai pilihan, dari Jepun hingga Korea dan malah Eropah, selain jenama tempatan, yang bersaing untuk mendapatkan bahagian pasaran 600,000 kenderaan setahun,” katanya.
Beliau berharap melalui kerjasama strategik dengan Geely, Proton akan dapat mencabar pasaran domestik dan akhirnya meningkat di rantau ASEAN.
“Proton hari ini memiliki sumber global daripada Geely yang merangkumi teknologi dan keupayaan reka bentuk di banyak negara.
“Bersama dengan pengalaman dan pengetahuan Proton, saya yakin Proton akan mencapai kegemilangannya sekali lagi,” katanya.
Pada Mei tahun ini, Geely, pemilik Volvo Car Group dari Sweden, membeli 49.9 peratus pegangan dalam Proton daripada DRB-Hicom. — Bernama
Sumber Li Chunrong jadi CEO baru Proton, ganti Ahmad Fuaad Kenali