Para KL2017: Alif tak putus asa

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, Alif Malek pernah berputus asa tidak mahu lagi terbabit dalam Sukan Para selepas berehat panjang akibat pembedahan di perut, namun semangatnya harus dijadikan contoh bagaimana untuk berjaya.

Sukan Para ASEAN pertama ternyata meninggalkan kenangan manis buat atlet berusia 23 tahun kelahiran Arau, Perlis ini walaupun hanya meraih satu gangsa acara 100 meter lelaki T36 (cerebral palsy) dalam temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).

"Saya pernah berbincang dengan isteri Mira Nirwani Mohammad, saya tidak mahu terbabit lagi dalam Sukan Para jika tidak berjaya dalam sesi pemilihan di Kelantan.

"Kalau menang, barulah saya akan teruskan. Memang takdir, saya sakit ketika gagal mewakili Perlis ke Paralimpiad di Kuching tahun lalu tetapi ia digantikan dengan kejayaan manis dapat mewakili Malaysia," katanya yang pernah bekerja sebagai pembantu di kedai makan.

Selepas ini, Alif mahu membuktikan kehebatannya di Paralimpiad 2018 di Perak dan memikat hati jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mewakili negara di Para Asia Jakarta-Palembang.

"Satu gangsa selepas lima tahun berlatih untuk mewakili Malaysia buat kali pertama memang satu kenangan indah.

"Walaupun hanya berlatih di Kompleks Sukan Kampung Pandan, dalam tempoh singkat iaitu sejak awal bulan ini, saya belajar banyak perkara berbeza berbanding ketika berlatih di Perlis.

"Saya dapat ilmu bagaimana untuk melakukan mandi ais dengan cara yang lebih bagus dan menggunakan pelbagai peralatan berkualiti.

"Atlet senior di MSN melayan dengan baik. Mereka mengajar berlatih dan menegur jika ada yang saya lakukan tidak betul," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad dan Sekolah Kebangsaan Changkat Jawi.

Alif mengakui berdepan kesukaran ketika mula berjinak dalam sukan olahraga kerana terpaksa bekerja di sebelah pagi dan sebelum turun berlatih di sebelah petang.

Latihan ketika di peringkat negeri memang tidak mencukupi berbanding di di MSN iaitu dua jam sebelah pagi dan dua jam di sebelah petang.

"Memang tidak sempat jika saya balik bekerja dan mahu memulakan latihan pada jam 6 petang, tetapi semuanya berbeza ketika di sini (Kuala Lumpur).

"Banyak saya belajar di sini dan jika diberi peluang mahu kekal di Kompleks Sukan Kampung Pandan. Saya mahu belajar bagaimana untuk menjadi juara," katanya yang menjadikan Ridzuan Puzi sebagai idolanya.

Alif mengakui tidak berpuas hati apabila menamatkan acara 200m semalam di tempat keempat dan gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik selepas hanya mencatat masa 32.15 saat.

Emas acara itu dimenangi Ridzuan (26.03) manakala perak milik Muhamad Agung Laksana dari Indonesia (26.20s) dan gangsa diraih seorang lagi pelari negara, Rezza Md Rashid (29.69s).



Sumber Para KL2017: Alif tak putus asa

Post a Comment

Previous Post Next Post