Seorang pemandu maut selepas badannya terputus dua dalam kemalangan di Kilometer 20, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, arah Port Dickson berhampiran Lukut di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu menyebabkan N Ananthan, 27, dari Shah Alam, Selangor maut di tempat kejadian akibat badan terputus dua dari paras pinggang ke bawah, selain putus kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata mangsa yang memandu berseorangan dalam perjalanan ke daerah ini, dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar pembahagi jalan.
“Kemalangan turut menyebabkan mangsa yang memandu di lorong kanan, tercampak keluar ke atas jalan,” katanya di sini, hari ini.
Zainudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Difahamkan, mangsa yang bekerja sendiri, berkonvoi bersama sembilan kereta lain untuk bercuti ke daerah ini.
Sumber Pemandu kereta maut badan terputus dua ketika berkonvoi ke Port Dickson