Penyokong bola sepak Kedah kutip 242kg sampah

ALOR SETAR: Kempen Kesedaran dan Kebersihan 3R (Reduce, Reuse, Recyle) yang dijalankan sempena perlawanan bola sepak Piala Malaysia di antara Kedah dan Kelantan di Stadium Darul Aman semalam, berjaya mengumpul 242.7 kilogram (kg) sampah.

Sampah terbabit dipungut sendiri penyokong sebelum diserah untuk dikumpulkan di lapan pintu masuk stadium dengan setiap satu pintu mengumpul antara 11.6kg hingga 78.8kg sisa.

Kempen di Stadium Darul Aman itu dijayakan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), SWCorp Malaysia (Kedah), Environment Idaman Sdn Bhd, Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK) serta lapan kelab penyokong.

Ia yang bermula jam 5 petang hingga tengah malam tadi di luar dan dalam Stadium Darul Aman, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan, termasuk pertandingan kutipan sampah terbanyak yang menawarkan hadiah RM100.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim, berkata ia petanda baik untuk menjayakan misi Transformasi Kedah Baharu ke arah sifar sampah dengan tema 'Kedah Negeriku Bersih Serata-Rata'. 

"Kempen sebegini perlu bermula sekarang kerana masyarakat di negara maju seperti Jepun, Korea dan United Kingdom sudah mengamalkannya. Penonton sendiri mengutip sampah selepas tamat perlawanan bola sepak.

"Di negara kita, saya difahamkan pihak stadium terpaksa mengambil masa sehingga tiga hari untuk kutip sampah ditinggalkan setiap kali perlawanan bola sepak sehingga bersih," katanya.



Sumber Penyokong bola sepak Kedah kutip 242kg sampah

Post a Comment

Previous Post Next Post