UMNO relevan mengikut zaman

TANAH MERAH: UMNO terus relevan kerana memilih pemimpin yang bersesuaian mengikut peredaran semasa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kesilapan membuat percaturan dalam memilih pemimpin boleh mendatangkan kemudaratan dan kelemahan untuk meneruskan perjuangan.

"Kalau kita memilih pemimpin yang sudah melepasi zamannya tapi masih berpura-pura mahu memasuki zaman baharu, ini dikhuatiri boleh melemahkan perjuangan parti.

"Sebab itu UMNO masih diterima kerana pemimpinnya silih berganti mengikut kesesuaian zaman walaupun usia penubuhannya sudah menjangkau 71 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanah Merah yang juga Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan wakil Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Abdullah Mat Yassin.

Johari yang juga Menteri Kewangan II berkata, UMNO sebagai parti keramat sudah membuktikan berjaya melahirkan pemimpin mengikut kesesuaian zaman itu.

"Tunku Abdul Rahman berusaha memerdekakan negara dan kini era kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula sesuai dengan perkembangan dunia teknologi maklumat dan digital," katanya.

Beliau berkata, warisan kepemimpinan UMNO berdasarkan peredaran zaman itu menjadikan ia lebih unik berbanding parti politik lain dalam negara pada masa ini.



Sumber UMNO relevan mengikut zaman

Post a Comment

Previous Post Next Post