Elizabeth Wong berkata partinya masih terbuka untuk rundingan termasuk dengan PAS.
SHAH ALAM: Syarat PAS terhadap PKR sebelum kedua-dua parti itu boleh bekerjasama, iaitu supaya PKR meninggalkan rakannya DAP dan Amanah, membuktikan parti Islam itu masih menyimpan niat untuk menjalinkan semula kerjasama politik, kata seorang anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
“Kalau mereka mula cakap macam itu, saya rasa ia agak menarik kerana maksudnya mereka mula fikir mungkin ada peluang (berbincang dengan PKR),” kata Elizabeth Wong.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari baru-baru ini berkata PAS hanya akan membuka pintu rundingan atau mengadakan kerjasama politik sekiranya PKR meninggalkan Pakatan Harapan (PH), yang menurut PAS di diketuai DAP.
“Pintu rundingan ini dibuka semula dengan syarat PKR meninggalkan DAP dan PAN,” katanya Ahmad Fadhli merujuk singkatan kepada Amanah yang kerap digunakan pemimpin PAS.
PH yang menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan PPBM merupakan gabungan politik menggantikan Pakatan Rakyat yang dimansuhkan selepas pertelingkahan PAS-DAP.
Mei lalu, PAS secara rasmi menamatkan kerjasama dengan PKR selepas menuduh parti itu melanggar syarat “tahaluf siyasi”, istilah yang digunakan pemimpin PAS untuk menyifatkan kerjasama politik bersama parti berlainan ideologi.
Elizabeth berkata PKR sebuah parti yang terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti politik termasuk PAS jika mempunyai agenda sama menumbangkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, beliau berkata partinya sudah bersedia untuk pertandingan 3 penjuru yang bakal berlaku susulan keengganan PAS mengadakan perjanjian pilihan raya dengan PH.
Pemimpin PKR baru-baru ini bergolak selepas keputusan Biro Politik parti itu untuk berunding dengan PAS.
Rabu lalu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi berkata tiada arahan daripada pusat untuk menamatkan rundingan dengan PKR.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber PKR anggap PAS masih simpan niat jalinkan kerjasama