Silap sendiri, cuai punca jatuh bankrap

BARU-BARU ini heboh diperkatakan di dada akhbar dan media sosial berkaitan seorang artis diberikan notis kebankrapan sedangkan dia tidak tahu menahu mengenainya.

Dijatuhkan muflis atau dibankrapkan melalui mahkamah akibat hutang yang dibuat sendiri atau sebagai penjamin atas tanggungan hutang orang lain adalah mimpi ngeri bagi kita semua.

Dari segi undang-undang, terma digunakan ialah 'si bankrap' walaupun istilah muflis biasa disebut. Si bankrap merujuk kepada orang yang dibankrapkan oleh mahkamah, manakala yang memohon perintah untuk membankrapkan ialah pemiutang iaitu pihak yang memberi hutang.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga boleh membankrapkan seseorang melalui permohonan di mahkamah sekiranya cukai ditaksir tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan. Ada juga keadaan seseorang boleh mohon mahkamah untuk membankrapkan diri sendiri.

Apabila muflis/bankrap, sering terbayang perasaan malu sekiranya diketahui ahli keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja. Dari segi undang-undang, pelbagai sekatan dikenakan apabila seseorang itu bankrap. Sekatan dimaksudkan, contohnya larangan keluar negara kecuali dengan kebenaran Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) dengan syarat tertentu bagi kes tertentu seperti menunaikan ibadah haji, tetapi ia adalah dalam kuasa budi bicara pihak JIM dan bukan terjamin untuk dibenarkan.

Sekatan juga dikenakan ke atas si bankrap dalam pelbagai keadaan seperti sekatan bertanding pada pilihan raya dan memohon pekerjaan. Si bankrap juga perlu dapat kebenaran sekiranya ingin membuka akaun bank dan segala harta akan diuruskan oleh JIM.

Senarai nama si bankrap direkodkan dalam data kebankrapan dan boleh diakses agensi tertentu seperti Jabatan Imigresen. Tentu data ini menyebabkan si bankrap tidak boleh berbuat apa-apa permohonan pembiayaan/pinjaman, apatah lagi memiliki harta melainkan dilepaskan atau dibatal status kebankrapannya.

Perkara utama yang perlu jelas ialah pihak membankrapkan bukan JIM, tetapi pemberi hutang/pemiutang seperti bank melalui proses di mahkamah. Tindakan ini berlaku selepas tuntutan hutang oleh pemiutang atau bank atas jumlah terhutang, sama ada bayaran ansuran atau keseluruhan hutang, gagal dilunaskan pihak yang berhutang.

Selepas dijatuhkan hukuman bankrap oleh mahkamah melalui Perintah Penghukuman dan Penerimaan kebangkrapan, segala hal berkaitan kebankrapan akan diuruskan oleh JIM, termasuk harta si bankrap. Jika kita salahkan pihak JIM apabila jatuh bankrap, ia adalah salah faham yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan bukan JIM yang menyebabkan seseorang bankrap.

Pihak JIM berperanan mengurus hal ehwal si bankrap untuk selesaikan hutang itu dengan melihat kemampuan si bankrap dan membantu pemiutang seperti bank dapatkan jumlah yang dihutangkan. Dalam erti kata sebenar, JIM bukan yang membankrapkan, tetapi mengurus hal ehwal berkaitan harta benda dan urusan kewangan si bankrap supaya akhirnya dapat keluar daripada belenggu hutangnya itu.

Biasanya si bankrap tahu mengenai kebankrapannya. Namun, ada keadaan apabila seseorang tidak menyedari sudah bankrap. Contohnya apabila hendak keluar negara, tetapi tiba-tiba dimaklumkan nama disenaraihitamkan.

Padah tak maklum tukar alamat, pindah

Bagaimanakah ini boleh berlaku? Dalam hal ini, elok dirujuk terma perjanjian pembiayaan/pinjaman yang jelas menyatakan sebarang pertukaran alamat hendaklah dimaklumkan kepada pembiaya atau bank. Kebiasaannya kita ambil mudah perkara ini tanpa mengetahui implikasi sekiranya berpindah, tetapi alamat tidak diperbaharui atau dimaklumkan kepada pembiaya atau bank.

Oleh itu, sekiranya perkara ini tidak dimaklumkan, maka surat menyurat dan notis tuntutan hutang, termasuk notis kebankrapan tentu tidak diterima orang yang gagal selesaikan tanggungan hutang. Maka berlaku keadaan jatuh bankrap tanpa disedari.

Tatacara mahkamah menghendaki semua dokumen disampaikan secara terus atau kendiri kepada pihak dituntut. Namun, tatacara mahkamah juga membenarkan penyampaian ganti sekiranya seseorang sudah tukar alamat dan berpindah dan penyerahan dokumen tidak dapat disampaikan terus kepada orang sepatutnya.

Penyampaian ganti bermaksud sebarang dokumen boleh disampaikan melalui perintah mahkamah, sama ada ditampal di alamat terakhir premis menurut alamat terakhir dalam dokumen perjanjian atau diiklankan di akhbar atau dengan cara di mana kos berkaitannya sudah ditanggung oleh orang yang diserahkan dokumen mahkamah itu. Apabila tempoh penyampaian dokumen itu menepati tempoh notis, prosiding kebankrapan boleh diteruskan, walaupun tanpa kehadiran orang disampaikan dokumen kebankrapan. Notis secukupnya untuk hadir ke mahkamah sudah diberi kepada peminjam yang gagal membayar tuntutan hutang.

Ketika ini, kebiasaannya JIM akan membantu mahkamah bagi menentukan, sama ada semua tatacara yang perlu di bawah undang-undang kebankrapan dipatuhi sebelum mahkamah menjatuhkan perintah penghukuman dan penerimaan untuk kebankrapan.

Bincang dengan pemiutang

Cara paling berkesan mengelak tindakan kebankrapan ialah selesaikan hutang dengan berbincang bersama pemiutang, sama ada memohon penyelesaian sepenuhnya atau secara ansuran dengan menyusun semula cara bayaran balik hutang.

Tiada jalan mudah apabila berhutang. Syarat perjanjian perlu dipatuhi dan sebarang pertukaran alamat hendaklah dimaklumkan supaya notis berkaitan sampai terus kepada kita. Oleh itu, adalah dinasihatkan kita berhati-hati dengan memastikan sebarang pertukaran alamat dimaklumkan kepada pembiaya atau bank bagi mengelakkan kejadian 'terkejut kerana tiba-tiba jatuh bankrap.'

Penulis: Felo Kanan (Undang-Undang), Pusat Pengajian Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM



Sumber Silap sendiri, cuai punca jatuh bankrap

Post a Comment

Previous Post Next Post