Trauma kebakaran Pasar Seremban berulang selepas 30 tahun - Peniaga

SEREMBAN: Susulan tragedi kebakaran yang memusnahkan kira-kira 358 premis perniagaan di Pasar Besar Seremban di Jalan Tun Dr Ismail di pusat bandar Seremban sekitar 7.30 petang semalam, membuatkan beberapa peniaga berdepan trauma.

Ini kerana, situasi sama pernah dilalui mereka kira-kira 30 tahun yang lalu.

Menceritakan detik itu A. Merimena, 57, berkata, dia tidak menyangka kejadian kebakaran yang menimpa premis perniagaan yang diwarisi daripada mendiang ayahnya kira-kira 30 tahun lalu berulang kembali.

Katanya, ibarat masih segar di ingatan, tragedi dahulu yang memusnahkan segala barangan jualan di dalam kedainya itu kembali menghantui keluarganya.

BACA: Letupan kuat dan bergegar, sebelum Pasar Besar Seremban terbakar

Premis perniagaan yang diwarisinya itu telah menjalankan operasi di pasar berkenaan lebih 30 tahun lalu dan dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu semalam menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh rakannya.

“Semua barang habis terbakar. Kedai ini berusia dekat 25 hingga 30 tahun. Semua barang habis, satu barang pun tidak boleh angkat, perkara yang sama (30 tahun dahulu) berulang,” katanya ketika ditemui di lokasi.


Sementara itu, beberapa peniaga menyuarakan kebuntuan mereka memandangkan kebanyakan barangan jualan di kedai mereka merupakan stok yang baharu diambil untuk dijual sebagai persiapan sambutan Deepavali yang berbaki kira-kira sebulan sahaja lagi.

Seorang peniaga pakaian T. Muthuly, berkata barangan anggaran ribuan ringgit tidak sempat dijual sebelum terbakar.

“Rugi banyak, lebih kurang RM30 ribu, semua sudah musnah, kita ada ambil lagi barang hampir RM15 ribu, tak sempat jual, baru turun, semua barang dah habis. Terbakar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga pakaian, Mohd Isa Osman pula berkata kerugian dialami dianggarkan mencecah RM30,000 seorang.

“Lagipun baru masuk barang, ramai akan sambut Deepavali tak lama lagi dengan harapan hendak berniaga Deepavali. Rugi lebih RM20 ribu, dalam RM30 ribu,” katanya.


Dalam kejadian sekitar 7.30 malam tadi, Pasar Besar Seremban yang mempunyai dua tingkat dilaporkan terbakar lebih 80 peratus.

Tingkat bawah bangunan terbabit menjual barang basah manakala tingkat atas antaranya terdapat medan selera, kedai menjual pakaian dan buah-buahan.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kebakaran kini dalam siasatan.



Sumber Trauma kebakaran Pasar Seremban berulang selepas 30 tahun - Peniaga

Post a Comment

Previous Post Next Post