Inilah Bon Kelakuan Baik Yang Kau Perlu Tahu

Saya diminta memberi pandangan pandangan tentang seorang suri rumah bergelar Datin yang telah dikenakan satu bon kelakuan baik oleh Hakim Mahkamah Sesyen selama lima tahun dengan jaminan sebanyak RM20,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh telah dituduh dengan pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum boleh sampai 20 tahun dan juga denda.

Tertuduh yang pada awalnya memilih untuk dibicarakan namun selepas 9 orang saksi pendakwaraya dipanggil kemudiannya telah menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kejadian dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara dekat sini antara pukul 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Kejadian dera telah divideokan dan menjadi tular dalam media sosial dengan tertuduh menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai, sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju berwarna putih yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.

Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dipinda untuk tidak membenarkan Hakim atau Majistret memberi amaran kepada seseorang tertuduh bagi kesalahan yang berat dan serius.

Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang melibatkan kes rogol bawah umur sebagai contoh, Seksyen 294 tidak boleh digunapakai.

Untuk pengetahuan semua, sebelum ini sudah ada kes melibatkan bekas pemain boling kebangsaan, Noor Afizal Azizan, yang disabitkan di bawah Seksyen 376 Kanun Kesiksaan namun telah dikenakan satu perintah berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka pada 2009.

Seorang juruelektrik Chuah Guan Jiu yang berusia 22 tahun juga dibebaskan dengan bon kelakuan baik sebanyak RM25,000 tuduhan merogol teman wanitanya, seorang gadis berusia 12 tahun di Pulau Pinang.

Bagi pendapat peribadi saya, mungkin kes ini wajar dirayu oleh pendakwaraya di Mahkamah Tinggi bagi menggantikan hukuman kepada Tertuduh yang telah diberi amaran dan diletakkan di bawah Bon Kelakuan Baik kepada satu hukuman yang mencerminkan keseriusan kes melibatkan tertuduh.

Merujuk kepada Seksyen 52B Kanun Kesiksaan juga, bon di bawah Seksyen 294 ini tidak boleh digunakan bagi kesalahan yang serius dan maksud kesalahan serius ini telah ditakrifkan di dalam Seksyen 294 yang baru dipinda.

Kesalahan serius adalah kesalahan yang membawa hukuman melebihi 10 tahun penjara.

Namun begitu YA Hakim Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes rayuan ini nanti, lebih arif lagi bijaksana dalam memutuskan rayuan ini nanti.

Saya masih teringat kata kata YA Dato Ahmad Bache, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu iaitu mahkamah perlu menjadi benteng terakhir bagi memberi keadilan kepada semua pihak terutama mangsa yang menuntut keadilan dan pembelaan.

Sekian.

Hasif Hasan



Sumber Inilah Bon Kelakuan Baik Yang Kau Perlu Tahu

Post a Comment

Previous Post Next Post