KUALA LUMPUR, 24 Sept — Seorang pemimpin PKR hari ini menyatakan pandangan berbeza daripada timbalan presidennya berhubung penganjuran pesta arak di negara ini.
Timbalan pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR berkata “Better Beer Festival 2017” sepatutnya dihalang dari awal dan tidak perlu menunggu bantahan orang ramai.
“Hujah yang mengatakan kehilangan hasil pelancongan dapat ditolak kerana kita perlu berbelanja lebih untuk elaun kerja lebih masa pihak keselamatan dan kesihatan bagi menjaga ‘kesejahteraan’ pengunjung pesta sebegini.
“Tidak termasuk kemudahan awam yang dirosakkan akibat kemalangan dan lain-lain lagi,” kata Amidi Abdul Manan dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata penganjur “Better Beer Festival” perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mahu memindahkan lokasi penganjuran festival ke Selangor.
Menteri besar Selangor berkata kerajaan negeri menghormati adat resam dan budaya rakyat Malaysia namun undang-undang perlu dipatuhi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Isnin menolak permohonan permit pesta berkenaan atas sebab keselamatan selain bercanggah dengan enakmen undang-undang kecil DBKL.
Pesta berkenaan sepatutnya diadakan pada 6 Oktober di pusat beli-belah Publika di sini dengan menampilkan 250 jenama arak dari 43 kilang di seluruh dunia.
Baca selanjutnya di Malay Mail Online.
Sumber Wakil biro bantah pesta arak, Azmin seru ikut aturan