Ibu kepada tiga anak ini memang dikenali sebagai seorang yang sangat suka 'melawa'. Tanyalah sesiapa sahaja dalam kalangan rakan penulis, kami memang sudah faham benar karektor wanita ini yang bukan sahaja seorang 'fashionista'.
Bahkan, dia akan memastikan tidak keluar rumah tanpa adanya sebarang solekan pada wajah. Krim muka, pembayang mata, maskara, gincu, pemerah pipi pelbagai jenama antara peralatan solek yang wajib dibawanya ke mana sahaja dia pergi.
"Biasalah kedutan pada wajah. Apabila usia semakin meningkat, paras kolagen pun turut berkurangan. Itu semua gejala penuaan, kita pun bukannya muda lagi," kata penulis.
Bagaimanapun, Aini tidak setuju dengan pandangan penulis. Sesuatu harus dilakukan sebelum bercambahnya jeragat di muka sekali gus mencacatkan penampilannya selama ini. Cuba mendapatkan rawatan wajah di sebuah pusat kecantikan, tidak dinafikan ia memang sangat berkesan.
Jeragat di mukanya semakin hilang, kulit wajah bersih dan sekata malah nampak seperti anak dara dan tidak seperti umur 39 tahun. Akan tetapi, kegembiraan itu hanyalah sementara. Selepas beberapa kali rawatan, ada sesuatu tidak kena pada wajahnya.
Kesan kulit muka terbakar
Kelihatan ada kesan terbakar/hitam melatari mukanya dan kalau diperhati dengan teliti ia seolah-olah membentuk seperti janggut! Biarpun cuba menutupi kesan hitam itu dengan solekan agak tebal berbanding sebelum ini, namun ia tetap jelas kelihatan.
"Kau perasan tak kesan hitam pada wajah Aini di bahagian bawah mulut dan kiri kanan pipinya? Itu kesan rawatan muka yang dia buatlah. Sebelum ini ok sahaja tetapi sekarang dah jadi masalah," kata rakan penulis terhadap nasib yang menimpa Aini.
Sebelum kejadian ini, Aini pernah menunjukkan satu video rawatan wajahnya yang dimuat naik di laman media sosial, Instagram, milik pengendali pusat kecantikan itu. Memang agak ngeri proses yang dilakukannya dan penulis sendiri pun tidak berani buat.
Tetapi, betullah kata orang. Kalau sudah terlalu fanatik mengejar kecantikan, rasa sakit ketika rawatan pun tidak diambil kisah. Yang penting, kulit dan wajah tidak ada kedutan walhal ia sebenarnya sangat berisiko pada kemudian hari.Penulis pasti perkhidmatan pusat kecantikan dikunjungi Aini tidak dikendalikan doktor kulit bertauliah. Tetapi, sekadar mereka yang cenderung minatnya dalam dunia ini (tidak ada kepakaran atau kelulusan dalam dermatologi) mahupun pihak yang mementingkan keuntungan tanpa mengira kesan sampingan mahupun komplikasi jangka panjang terhadap pengguna.
Tidak boleh dipandang ringan apatah lagi jika ia melibatkan pengendalian jarum suntikan kerana selain dilakukan oleh mereka tidak bertauliah.
Kita pun tidak tahu produk mana yang digunakan pengusaha sama ada ia berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun sebaliknya. Ini kerana, keluaran yang tidak berdaftar adalah tidak selamat digunakan berikutan ia kemungkinan besar mengandungi bahan kimia berbahaya.
Sekali gus berisiko tinggi merosakkan kulit dan mengancam organ dalaman seseorang pada jangka masa panjang.
Berselindung di sebalik solekan
Bagaimanapun, Aini boleh dianggap beruntung kerana masih lagi boleh berselindung di sebalik solekan tebal bagi mengurangkan kesan ketampakan kulit terbakarnya. Sedangkan ada yang jadi sangat teruk sehingga terpaksa memakai penutup muka bagi menyembunyikan komplikasi dialami.
Dan ini antara yang dikongsi seorang pengamal perubatan, Dr Mohd Syamirulah Rahim di Facebook awal tahun ini mengenai seorang wanita yang cuba mendapatkan rawatan kerosakan pada wajahnya.
"Kulitnya mengelupas. Nanah kering sebesar syiling 50 sen bertompok-tompok di pipinya. Masih ada bahagian kulit mukanya yang kemerahan. Berlendir. Ada yang baru hendak naik bintik, persis jerawat. Tapi bukan jerawat.
"Ini adalah kesan penggunaan bahan terlarang di dalam produk yang cik beli di pasar malam. Bukan apa, kerana dalam salah satu produk tersebut, pihak KKM mengesahkan ada bahan bernama tretinoin.Tretinoin, adalah sejenis bahan yang digunakan untuk merawat jerawat.
"Tetapi, ia sangat kuat dan penggunaannya hanya boleh dipreskripsi oleh doktor pakar. Kuat dari segi kata, kesan sampingannya," Antara coretan beliau mengenai nasib seorang wanita yang membeli produk kecantikan di pasar malam.
Mangsa kosmetik palsu
Realitinya, situasi malang ini tidak hanya dihadapi Aini mahupun wanita yang dipaparkan kisahnya di laman Facebook doktor berkenaan. Akan tetapi, sudah terlalu ramai wanita yang menjadi mangsa kosmetik palsu mahupun rawatan daripada pihak tidak bertauliah.
Semuanya, hanya disebabkan terlalu ghairah mengejar kecantikan tanpa memikirkan keselamatan produk atau rawatan dipilih mereka. Walhal, kes ini bukanlah baharu.
Sudah banyak kisah penipuan kosmetik murahan, tiruan dipaparkan di dada akhbar mahupun medium elektronik, tetapi ia tetap berlaku. Sedangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan, peraturan berkaitan produk kecantikan sentiasa diperkemaskan dan dihebahkan melalui pelbagai cara.
Kempen turun padang menerusi penganjuran seminar, iklan akhbar mahupun elektronik antara wahana dipragmatikkan dalam penyaluran maklumat kepada masyarakat.
Malah, tindakan penguatkuasaan juga diambil ke atas syarikat yang melanggar peraturan dan menjual produk yang boleh memudaratkan penggunanya bagi mencelikkan orang ramai akan kepentingan perihal ini.
Namun, agak menyedihkan apabila situasi ini masih terus berlaku. Lambakan pelbagai produk kosmetik palsu di pasaran dengan pelbagai teknik iklan testimoni, harga murah rawatan pusat kecantikan, membuaikan wanita apabila masih ada yang sanggup memperjudikan nyawa membeli produk seumpama itu.
Ditambah pula, ia begitu mudah didapati termasuklah pasar malam, kios di pasar raya, jualan langsung mahupun Internet.
Individu kejar keuntungan
Akan tetapi, sampai bila kita harus membiarkan situasi malang ini berlaku? Kita tidak boleh menafikan bahawa ia masih terjadi disebabkan adanya permintaan dan pembelian dalam kalangan pengguna. Disebabkan itu, adalah sewajarnya kita sebagai pengguna tidak membiarkan diri terus menjadi mangsa dek kerakusan individu tidak bertanggungjawab mengejar keuntungan.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana ia boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan. Manakala, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.
Oleh itu, pengguna adalah sebaiknya bijak dan berhati-hati dalam pemilihan produk kosmetik. Masyarakat boleh melayari laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) untuk membuat carian status notifikasi sesuatu produk kosmetik.
Ingatlah, wajah adalah cerminan diri kita dan sudah pastinya tiada siapa pun yang mahu aset amat berharga bagi setiap individu ini rosak, terbakar mahupun mengalami masalah pigmentasi yang teruk hanya semata-mata disebabkan tersalah memilih rawatan kecantikan.
***Komentar ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian sidang pengarang Astro AWANI.
-- BERNAMA
Sumber Adakah 'kosmetik' yang anda guna selamat?