Dilema Hidup Tang Woon Seng, nama cina tapi keturunan India, fasih mandarin tapi tidak tahu tamil, rakyat Malaysia tapi dinafikan

Tang Woon Seng

Tang Woon Seng

Namanya Cina tetapi dia  berketurunan India. Itu keunikan yang ada pada, Tang Woon Seng,34, pemuda India yang dibesarkan dalam sebuah keluarga Cina di Kampung Baru Site A.

Fasih berbahasa Mandarin tetapi tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Tamil, mungkin itu sahaja kekurangan yang ada pada dirinya selebihnya dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa angkatnya tanpa membezakan dengan perhatian dengan adik beradik angkat yang lain.

Tang Woon Seng dijadikan anak angkat sejak usia bayi oleh Tang Kee Kwan (kini mendiang) apabila mendapat tahu keluarga kandung yang tinggal di kawasan berhampiran tidak mahu membesarkannya kerana masalah peribadi.

Woon Seng berkata, sejak kecil hingga dewasa dia dilayan sama rata tanpa dibezakan oleh keluarga Cina yang membesarkannya.

“Kami satu keluarga sangat rapat walaupun kini mak dan ayah dah tiada (meninggal dunia) hubungan saya dengan kakak dan abang angkat masih terus akrab.

“Boleh dikatakan, saya orang yang sangat bertuah kerana bukan sahaja keluarga, jiran dan rakan juga melayan saya tanpa membezakan warna kulit.

“Namun tak dinafikan ada juga segelintir yang hairan dan pelik dengan saya, ye lah, nama Cina tapi orangnya India,” katanya sambil memaklumkan dia tidak pernah ambil hati dengan perkara tersebut.

Woon Seng yang dianggap anak bongsu daripada tujuh beradik ini berkata, masalah hanya timbul ketika dia berusia 16 tahun.

“Masa tu saya hendak membuat permohonan berkahwin dengan seorang warga Indonesia dan ketika proses membuat pasport di Imigresen, kad pengenalan saya dirampas.

“Ketika itu, alasan yang diberikan adalah berikutan timbul keraguan, nama Cina yang tertera di kad pengenalan dan saya pula seorang berbangsa India, pihak berkuasa syak itu kad pengenalan palsu.

“Siasatan lanjut, pihak berkuasa menyedari ada maklumat tidak tepat sewaktu pendaftaran kelahiran yang dicatat dalam surat beranak.

“Ketika itu, bapa angkat secara tidak sengaja mendaftarkan saya sebagai anak kandungnya pada surat beranak yang sepatutnya dinyatakan sebagai anak angkat,” katanya yang kini bekerja sebagai peniaga di pasar malan di ibu kota dan tinggal bersama kakak angkatnya.

Woon Seng berkata, dia mempunyai sijil kelahiran, malah tidak berdepan masalah buat kad pengenalan ketika berusia 12 tahun.

“Tapi sejak kad pengenalan saya diambil pihak berkuasa 16 tahun lalu, saya diberi kad pengenalan sementara, berwarna hijau sekaligus menafikan kerakyatan saya sebagai warganegara.

“Itu sekaligus menjadikan saya asing di negara sendiri, dan anak saya yang kini berusia 11 tahun juga dalam sijil kelahiran didaftarkan sebagai bukan warganegara.

“Saya juga risau dengan persekolahannya dan juga masa depannya, ” katanya.

Sementara itu, kakak angkatnya, Tang Woon Mee, 38, berkata, usaha untuk menyelesaikan masalah  Woon Seng telah dilakukan sejak kad pengenalannya diganti dengan yang berwarna hijau namun sehingga kini masih belum selesai.

“Sebenarnya kami tak sangka masalah seperti ini boleh timbul memandangkan Woo Seng memang rakyat Malaysia, dia dilahirkan di sini oleh ibu bapa yang juga orang sini, cuma dia dibesarkan oleh keluarga Cina sahaja kerana keluarga kandungnya ada masalah peribadi.

“Memang rumit nak selesaikan isu ni, harap ia boleh diselesaikan sedikit masa lagi.

“Mujur kami ada banyak gambar-gambar Woon Seng membesar bersama kami dan juga dokumen penting lain iaitu sijil kelahiran dan juga dokumen membuat kad pengenalan ketika usianya 12 tahun,”katanya.

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Lim Chin Fui, berkata, pihaknya akan membantu Woon Seng mendapatkan semula taraf kerakyatannya dan usaha itu telah pun dilaksanakan dengan menemukannya dengan Ketua Pengarah JPN.

“Tapi saya juga kena faham, JPN mempunyai prosedur dalam menyiasat kes seperti ini.

“Tapi kita yakin, JPN akan dapat menangani masalah ini dengan baik, dan boleh mengesahkan semula kerakyatan Woon Seng,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur JPN bagi mengenai kes berkenaan.

Sumber: Sinar Harian



Sumber Dilema Hidup Tang Woon Seng, nama cina tapi keturunan India, fasih mandarin tapi tidak tahu tamil, rakyat Malaysia tapi dinafikan

Post a Comment

Previous Post Next Post