June Wei, Teck Zhi mara suku akhir

KUALA LUMPUR: "Jangan cepat berpuas hati," itu pesanan jurulatih perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayob kepada dua anak buahnya, Cheam June Wei dan Soo Teck Zhi yang berjaya melepasi halangan wakil tuan rumah untuk mara ke suku akhir Cabaran Antarabangsa Indonesia, hari ini.

Menurutnya, beliau memang meletakkan harapan terutama kepada June Wei untuk melayakkan diri hingga ke suku akhir namun masih mengharapkan pilihan ketujuh kejohanan itu mampu mara lebih jauh.

"Bagi aksi suku akhir esok (menentang Shesar Hiren Rhustavito) saya harap dia boleh bermain seperti biasa dan jangan takut dengan pemain tuan rumah itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

June Wei mara ke suku akhir selepas menumpaskan seorang lagi wakil tuan rumah, Krishna Adi Nugraha 21-19, 21-16, manakala Teck Zhi yang juga pilihan ke-11 mengalahkan Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay (Indonesia) 21-12, 21-11 dan akan berdepan Adulrach Namkul dari Thailand esok.

Bagaimanapun, hasrat tiga pemain perseorangan wanita, Lim Yin Fun, M Thinaah dan S Kisona untuk mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila mereka kalah di tangan pemain tuan rumah.

Yin Fun yang juga pilihan utama kejohanan tumpas kepada Silvi Wulandari 21-12, 13-21, 21-23 manakala Thinaah kalah kepada pilihan keempat, Asty Dwi Widyaningrum 8-21, 21-17, 17-21 dan Kisona kecundang di tangan Gabriela Meilani Moningka 17-21, 21-12, 23-25.



Sumber June Wei, Teck Zhi mara suku akhir

Post a Comment

Previous Post Next Post