OSLO: Mangsa yang terselamat dalam insiden bom atom di Hiroshima, Setsuko Thurlow, diisytiharkan sebagai penerima bersama Hadiah Nobel Keamanan tahun ini.
Menurut Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN), Thurlow, 85, akan menerima hadiah itu bersama Pengarah Eksekutifnya, Beatrice Fihn.
ICAN berkata, ketika kejadian pada 6 Ogos 1945, Thurlow berusia 13 tahun dan beliau akan menerima hadiah berkenaan di Oslo pada 10 Disember depan.
"Thurlow adalah tokoh utama dalam ICAN sejak ia ditubuhkan pada 2007.
"Beliau turut memainkan peranan penting dalam rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga terlaksananya perjanjian yang melarang penggunaan senjata nuklear pada Julai lalu," kata ICAN dalam satu kenyataan.
Sejak tujuh dekad lalu, Thurlow yang kini menetap di Kanada gigih mengadakan kempen membantah penggunaan senjata nuklear.
Ketika mengimbas kejadian pada 1945, Thurlow berkata, beliau diselamatkan dari runtuhan bangunan yang terletak kira-kira 1.8 kilometer dari lokasi letupan bom atom atau 'ground zero'.
"Sebahagian besar daripada rakan sekelasnya yang berada dalam bilik yang sama, maut akibat 'terbakar hidup-hidup'," katanya. - Reuters
Sumber Mangsa bom atom terima Hadiah Nobel