Kebocoran gas klorin, enam individu direman

Sebahagian daripada enam orang yang direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu kes kebocoran gas klorin di Kampung Tambak Paya, Khamis lepas. — Foto BernamaSebahagian daripada enam orang yang direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu kes kebocoran gas klorin di Kampung Tambak Paya, Khamis lepas. — Foto BernamaMELAKA, 3 Okt — Enam individu direman tiga hari bagi membantu siasatan kes kebocoran gas klorin di Kampung Tambak Paya, Jasin dekat sini, Khamis lepas.

Tempoh reman bagi tiga suspek yang ditahan semalam selama tiga hari bermula hari ini, manakala tiga lagi suspek yang direman sejak Sabtu lepas dilanjutkan tempoh sama (tiga hari) bermula esok.

Perintah reman ke atas enam suspek berusia 23 tahun dan 58 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Mohd Anuar Ostadi di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh di sini.

Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan ke atas mereka mengikut Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Khamis lepas media melaporkan dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, 250 penduduk di kampung tersebut diarahkan mengosongkan kediaman mereka oleh pihak bomba atas faktor keselamatan.

Manakala 50 mangsa termasuk anggota pihak berkuasa dikejarkan ke Hospital Melaka dan Hospital Jasin kerana mengalami sesak nafas dipercayai selepas terhidu gas klorin.

Dalam kejadian itu tujuh tong ditemui dibuang di kawasan rumah tinggal kampung itu, sebelum satu daripada tong tersebut bocor dan mengeluarkan bahan kimia dipercayai klorin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Kamaluddin Kassim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata suspek yang direman ada yang bekerja sebagai pemandu lori, pekebun, dan peraih besi buruk.—Bernama



Sumber Kebocoran gas klorin, enam individu direman

Post a Comment

Previous Post Next Post