Idris berkata pegawainya akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan Oman dan jika penambahbaikan akan dijalankan jika perlu.
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Idris Jusoh berkata mungkin berlaku salah komunikasi sehingga kerajaan Oman melarang pelajarnya meneruskan pengajian di 4 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara ini.
Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, apa yang diketahui pihaknya, hubungan dengan Oman amat baik, malahan pegawainya juga akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan Oman berkenaan perkara terbabit Isnin ini.
“Dan kita harap ia dapat diselesaikan dengan baik. Saya tidak nampak ini masalah sangat sebenarnya.
“Kalau ada penambahbaikan yang perlu dibuat universiti ini, kita akan pastikan ia diperbetulkan,” katanya pada sidang medianya di Majlis Pelancaran Insfrastruktur Siber Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 100 Gigabit Sesaat Myren-X di Universiti Malaya hari ini.
Ahad lalu, akhbar The Times of Oman melaporkan kerajaan Oman melarang pelajarnya meneruskan pengajian di 4 buah IPT negara ini.
IPT itu adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Universiti SEGi, Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing dan Universiti Pengurusan dan Keusahawanan Binary.
Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan sijil palsu yang menggunakan nama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Universiti SEGi, Idris berkata 2 universiti terbabit akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sindiket terbabit.
“Dan saya dapati memang mereka sudah ambil tindakan tersebut,” katanya.
Ketika disoal jika terdapat universiti lain yang terbabit, Idris berkata pihaknya harus melihat dahulu kes berkenaan.
“Tidak boleh pukul harung semua sekali, dan di mana kita dapati terdapat salah guna yang serius, kita akan pastikan IPT tersebut ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Baru-baru ini, Kosmo! mendedahkan aktiviti sindiket menjual ijazah palsu daripada universiti tempatan pada harga serendah RM1,000
Dua universiti yang menjadi mangsa palsuan sindiket itu ialah UiTM dan Kolej Universiti SEGi.
Kedua-dua universiti itu sudah membuat laporan polis secara berasingan.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Larangan pengajian mungkin salah komunikasi, kata Idris Jusoh