Privasi Syamim Farid Untuk Suami

SEJAK mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Selangor pada Mac tahun lalu, pengacara dan pelakon Syamim Farid memilih menjalani kehidupan privasi bagi memberikan tumpuan kepada suami, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari.

Bagaimanapun kata Syamim dia sudah bersedia untuk kembali aktif dalam bidang seni selepas setahun menyepikan diri.

Dedah Syamim bukan mudah untuk menyakinkan si suami mengenai keputusannya itu namun Tengku Ezrique memberikan persetujuan kepada dia meneruskan karier dalam bidang seni.

"Memang dalam tempoh setahun ini fokus saya kepada rumah tangga tetapi dalam pada itu saya ada juga minta izin suami untuk kembali aktif mengacara dan berlakon.

"Selepas dipujuk Alhamdulillah dia mengizinkan saya kembali bekerja tetapi mestilah pandai membawa diri dan menjaga nama baik keluarga," katanya.

Tambah Syamim, keluarga mertuanya juga tidak menghalang dia ingin aktif dalam bidang seni.
Dalam pada itu, Syamim berkata, walaupun status dirinya sudah berbeza namun dia tidak melihat ia sebagai alasan untuk dia terus melupakan kariernya.

"Ada kenalan saya mempersoalkan tindakan saya tetapi kalau setiap hari duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa pun bosan juga.

"Apabila ramai sering tanya bila saya nak mengacara dan berlakon ia menunjukkan masih ada yang menghargai bakat saya," katanya yang bakal muncul dengan drama web Mata Cinta menerusi platform digital.

Sementara itu, Syamim memberitahu sebagai seorang isteri, dia sedar banyak batas perlu dijaga malah akan memastikan setiap projek diterimanya akan dirujuk kepada suami terlebih dahulu.
"Saya sebenarnya berharap dapat berlakon watak-watak mencabar seperti aksi atau menjadi orang gila dan status isteri sudah tentu membuatkan saya menilai dahulu peranan memerlukan saya berlakon babak romantik.

"Biasanya saya rujuk kepada suami terlebih dahulu dan tunjuk skrip kepadanya dan jika dia setuju baru saya akan terima," ujarnya.

Susah juga hendak pujuk suami tetapi saya jelaskan dengan baik kepadanya tentang niat saya dan memang susah juga hendak pujuk dia.



Sumber Privasi Syamim Farid Untuk Suami

Post a Comment

Previous Post Next Post