Mata Kim Jong-nam kabur akibat disapu cecair, kata saksi

Kim Jong-nam mati dibunuh di klia2 13 Februari lalu. — Foto ReutersKim Jong-nam mati dibunuh di klia2 13 Februari lalu. — Foto ReutersSHAH ALAM, 2 Okt — “Sir, walk slow, my eyes blur, cannot see,” itulah yang diberitahu oleh mendiang Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, kepada seorang anggota polis yang membawanya ke sebuah klinik di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) selepas mendakwa mukanya disapu sejenis cecair oleh dua orang wanita.

Lans Koperal Mohd Zulkarnain Sainudin, 31, yang bertugas di Balai Polis klia2, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau membawa mangsa dari aras 3 Balai Pelepasan klia2 ke aras 2 Balai Ketibaan, selepas lelaki itu meminta dibawa ke Klinik Menara klia2, sebelum membuat laporan polis.

Mohd Zulkarnain yang bertugas sebagai anggota rondaan di balai polis berkenaan berkata, beliau juga memperlahankan pergerakannya dan membiarkan lelaki berkenaan berjalan di hadapan.

“Puan Juliana yang bertugas di kaunter penerangan membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan polis. Juliana memberitahu saya bahawa muka lelaki itu disapu oleh dua wanita yang bangsanya tidak dikenal pasti. Saya juga melihat mata mangsa  berwarna merah.

“Apabila sampai di klinik, saya membuka pintu klinik berkenaan dan lelaki itu masuk. Saya tak masuk ke dalam klinik. Saya perhatikan, staff klinik berkenaan membuat rawatan kecemasan ke atas mangsa,” katanya sambil menambah kata ketika berjalan ke klinik dari balai polis menerusi lif, pada jarak kira-kira 50 meter, mangsa berada dalam keadaan normal.   

“Saya pun masuk ke dalam klinik itu dan mendapati lelaki berkenaan bersandar di kerusi... selepas itu saya pergi ke balai polis untuk memaklumkan hal berkenaan kepada pihak Security Operation Centre (SOC) Malaysia Airport Holdings Sdn Bhd,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

Saksi pertama itu memberi keterangan pada perbicaraan hari pertama kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam, Februari lalu.

Tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Zulkarnain berkata selepas memaklumkan perkara itu kepada pihak SOC, beliau kembali semula ke klinik berkenaan untuk mendapatkan butiran peribadi mangsa bagi membuat laporan polis.   

“Ketika kembali semula ke klinik, petugas klinik berkenaan memberitahu bahawa si mati berada di dalam bilik rawatan, lalu menyerahkan pasport milik mangsa kepada saya untuk membuat laporan polis. Selepas mendapat butiran mangsa, saya menyerahkan semula pasport berkenaan kepada petugas klinik itu,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, saksi itu berkata beliau tidak nampak dari mana petugas klinik berkenaan mengambil pasport itu.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, Mohd Zulkarnain berkata beliau tidak mencatat apa yang diberitahu oleh mangsa iaitu (Sir walk slow, eyes blur, cannot see)  di mana-mana.

Ketika ditanya Hisyam, bagaimana saksi itu ingat percakapan itu sedangkan beliau  tidak mencatatkannya di mana-mana, saksi berkenaan berkata, dia masih ingat.

Peguam Salim Basheer yang turut mewakili Doan bertanya: “Kamu kata tak sentuh mangsa, tetapi bagaimana kamu tahu ada cecair di muka mangsa?

Mohd Zulkarnain: Lelaki tersebut menunjukkan muka dia yang terkena cecair dan saya dapat lihat kerana jarak antara saya dengan mangsa dekat.

Bagaimanapun, saya tak dapat pastikan apa jenis cecair,” katanya pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Azmi Arifin. — Bernama



Sumber Mata Kim Jong-nam kabur akibat disapu cecair, kata saksi

Post a Comment

Previous Post Next Post