Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nilai kehidupan antara lain termasuk seperti menghargai masa, beradab, berilmu dan berdisiplin penting diterapkan kepada pelajar di alam persekolahan kerana ini merupakan masa dan umur yang sesuai untuk membentuk sahsiah mereka.
"Sekolah diibaratkan satu tapak semaian anak benih di mana kita perlu memastikan benih (pelajar) yang macam mana kita nak hasilkan dan ini dah menjadi tanggungjawab bukan sekadar guru malah ibu bapa dan masyarakat.
Marilah kita bersama membina sebuah masyarakat yang terbaik untuk diwarisi oleh generasi berikutnya agar negara dapat diterajui dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya di Majlis Anugerah Perdana Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja'afar (SMSTJ) di sini, pada Selasa.Beliau berkata untuk menghasilkan generasi yang berjaya, sudah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mencurah khidmat bakti kepada anak bangsa dengan berkongsi ilmu serta pengalaman yang ada sambil dibantu tenaga pengajar atau guru.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Dr Roslan Md Taha, Pengetua SMSTJ, Aini Md Jadi dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMSTJ, Datuk Abdul Samad Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata PIBG dan masyarakat perlu bersama dalam memastikan gejala tidak sihat dalam kalangan pelajar tidak berlaku seperti penyalahgunaan dadah dan juga kegiatan jenayah.
"Contoh yang kita boleh ambil ialah kanak-kanak berumur belasan tahun yang merancang kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur dan juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
"Saya berfikir dengan perspektif yang berbeza, adakah ini contoh generasi yang akan menerajui negara satu hari nanti...oleh itu peranan semua pihak amat penting dalam menghasilkan benih (pelajar) yang baik demi masa depan negara," katanya.
-- BERNAMA
Sumber Nilai kehidupan perlu dipupuk dari bangku sekolah