"Perjuangan Tun M kini tersungkur di kaki DAP"

KUALA LUMPUR: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat DAP malam tadi, disifatkan penganalisis sebagai membayangkan terhentinya perjuangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, menentang konsep Malaysian Malaysia yang memperjuangkan hak persamaan kaum oleh parti sosialis terbabit.

Kunjungan julung kali pengerusi pakatan pembangkang bagi mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan itu dilihat amat signifikan kepada konsep Malaysia Malaysia, yang sebelum ini ditentang secara bermati-matian oleh bekas Perdana Menteri itu.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, menyifatkan kunjungan Dr Mahathir ke ibu pejabat parti yang memperjuangkan hak persamaan kaum di bawah konsep Malaysian Malaysia membuktikan tersungkurnya pemimpin itu di kaki DAP.

Beliau berkata, buku bertajuk `Tun M: Inilah Perjuangan' diterbitkan tahun lalu, memuatkan penentangan keras Dr Mahathir terhadap perjuangan Malaysian Malaysia, melalui temu bual eksklusif beliau dengan Sabaruddin Hussein.

"Antara lainnya, Dr Mahathir menyebut dalam buku ini: 'Orang bukan Melayu asyik menuntut hak persamaan, meminta supaya dimansuhkan hak istimewa orang Melayu. Sedangkan mereka tinggal di negara ini, mendapat kewarganegaraan, juga merupakan satu keistimewaan. Mereka boleh mengamalkan cara hidup mereka sendiri, bahasa sendiri, itu pun satu keistimewaan'.

"Dr Mahathir turut menyebut: 'Mereka tidak boleh punyai sistem pendidikan sendiri, kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan, mereka tidak boleh mengamalkan budaya mereka, malah nama pun perlu ditukar kepada nama Malaysia, seperti mana yang dilakukan di Indonesia dan Thailand, pada masa itu barulah kita boleh mansuhkan hak istimewa orang Melayu'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, konsep Malaysian Malaysia DAP berakar umbi daripada deklarasi bersama parti pembangkang yang bergabung dalam Malaysian Solidarity Convention (MSC) di Singapura pada 9 Mei 1965.

Beliau berkata, tercatat kemas dalam Deklarasi MSC, kenyataan berbunyi bahawa 'a Malaysian Malaysia means that the nation and the state is not identified with the supremacy, well-being and the interests of any one particular community or race' (Malaysian Malaysia bermaksud sesebuah negara tidak dikenal pasti menerusi ketuanan, kesejahteraan dan kepentingan mana-mana satu komuniti atau kaum tertentu)

Katanya, tercatat juga dalam Deklarasi Setapak pada 29 Julai 1967 bahawa komitmen DAP kepada `the ideal of a free, democratic and socialist Malaysia, based on the principles of racial equality, and social and economic justice...' (kebebasan, demokratik dan sosialis Malaysia berdasarkan kepada prinsip kesamarataan kaum serta keadilan sosial dan ekonomi)

"Jangan ingat konsep Malaysian Malaysia ini hanya diperjuangkan pemimpin veteran saja kerana pemimpin muda yang sedang berkuasa di dalam DAP sekarang juga berpegang teguh dengan konsep ini.

"Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sendiri bercakap mengenai Perlembagaan Persekutuan `discriminat(ing) Malaysians into bumis and non-bumis, which effectively divided Malaysians into first and second-class citizens' (membezakan rakyat Malaysia antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, secara efektifnya membahagikan rakyat Malaysia ke dalam kelas pertama dan kedua)," katanya.

Menurutnya, konsep Malaysian Malaysia kekal dalam DAP sehingga kini terbukti, bila laman web rasmi parti itu menegaskan bahawa `the DAP is committed to the struggle for a free, democratic socialist Malaysian Malaysia'.

"Malah ramai yang tidak tahu konsep Malaysian Malaysia DAP ini sentiasa diindoktrinasikan ke dalam jiwa ahli DAP melalui lirik lagu rasmi DAP yang antara lainnya berbunyi `bersama kita menuju satu matlamat: Malaysia untuk rakyat Malaysia'," katanya.



Sumber "Perjuangan Tun M kini tersungkur di kaki DAP"

Post a Comment

Previous Post Next Post