Saffrey Sumping kekal juara

RANAU: Hujan lebat dan angin kencang tidak menghalang pelari tempatan, Saffrey Sumping mempertahankan kejuaraannya di kejohanan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, di sini, hari ini.

Malim gunung berusia 34 tahun itu turut mencatat masa lebih baik iaitu 2:18:28s berbanding 2:21:33s yang diciptanya bagi kategori elit lelaki pada pertandingan sama tahun lalu.

"Perlumbaan kali ini agak mencabar. Sujan sejak semalam menyebabkan permukaan laluan licin yang memerlukan peserta lebih berhati-hati.

"Pada mulanya saya ketinggalan di belakang dua peserta lain namun, ketika sampai di Timpohon Gate, saya dapat memintas mereka sehinggalah ke garisan penamat," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Saffrey berkata, walaupun dinobatkan sebagai juara, beliau kecewa sedikit kerana tidak sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

"Perlumbaan ini sepatutnya berakhir sehingga ke puncak Gunung Kinabalu, namun laluan telah dipendekkan sehingga ke Panalaban (Kilometer 10) kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan," katanya.

Kategori elit lelaki turut menyaksikan peserta Kenya, Lel Kipchirchir, 24, muncul naib juara dengan catatan masa 2:20:22s manakala seorang lagi pelari tempatan, Daved Simpat, 35, berada di tempat ketiga dengan masa 2:20:42s.

Sementara itu, pelari Filipina, Sandi Menchi Catlona Abahan turut berjaya mempertahankan kejuaraan bagi kategori wanita elit yang dicapainya tahun lalu, namun hasrat untuk memperbaiki masa peribadi tidak tercapai apabila mencatat 3:04:30s kali ini berbanding 2:58:48s pada 2016.

Pelari tempatan, Anineh Dainin muncul pemenang tempat kedua bagi kategori berkenaan dengan masa 3:09:33s manakala pelari Kenya, Valentine Jepkemoi Serem di tempat ketiga dengan catatan masa 3:28:07.

Kejohanan edisi ke-30 itu menyaksikan penyertaan seramai 116 peserta walaupun pada mulanya seramai 128 yang telah mendaftar dengan perlumbaan bermula di Taman Kinabalu, Kundasang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata antara faktor peserta yang menarik diri ialah kerana keadaan cuaca buruk.

"Mereka tahu kemampuan mereka sendiri dan mungkin keadaan yang agak sejuk menyebabkan mereka terpaksa menarik diri," katanya.



Sumber Saffrey Sumping kekal juara

Post a Comment

Previous Post Next Post