Pass-out game, otak boleh rosak kekal: Pakar

KUALA LUMPUR : Seorang pakar perubatan kecemasan memberi amaran bermain 'pass-out game' yang kini viral, berisiko menyebabkan kecacatan kekal pada otak.

Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Mohmmad Salleh Yahya, berkata ini kerana permainan berbahaya itu membabitkan pemberhentian denyutan jantung secara paksa sekali gus menyebabkan bekalan oksigen ke otak terhenti dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata, risikonya ialah kerana otak hanya boleh bertahan tanpa oksigen dalam tempoh maksimum empat minit mengikut amalan perubatan biasa.

Katanya, sel otak yang tidak mendapat bekalan oksigen boleh rosak secara kekal yang boleh menyebabkan 'mati otak'.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang ada masalah kesihatan lain seperti asma, lemah paru-paru, jantung berlubang, berisiko mengalami kerosakan sel otak dalam tempoh kurang daripada empat minit itu," katanya ketika dihubungi BH.

Dr Mohmmad Salleh diminta mengulas satu bentuk 'permainan' yang dikatakan mula viral dalam kalangan pelajar dinamakan 'pass-out game', yang menggunakan teknik meletakkan tekanan pada bahagian dada seseorang sehingga pengsan untuk tempoh singkat.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa, sekolah dan kementerian berkaitan menyebarkan maklumat membabitkan bahaya dan kesan permainan tidak bertamadun itu.

"Permainan ini perlu dihentikan serta-merta kerana mengancam nyawa. Anda boleh terbunuh," katanya.

Dr Mohmmad Salleh berkata remaja hari ini mudah terpengaruh dengan adegan ganas dalam filem dan suka mencuba 'permainan kreatif' yang membahayakan nyawa.



Sumber Pass-out game, otak boleh rosak kekal: Pakar

Post a Comment

Previous Post Next Post