Van terbakar dipercayai bermotif dendam

PETALING JAYA: Lima buah van yang diletakkan di kawasan perumahan Taman Sri Subang, PJS 10, Sungai Way, di sini, terbakar malam tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata kebakaran disedari kontraktor yang juga pemilik van terbabit yang kemudian membuat panggilan kecemasan.

"Selepas api berjaya dipadamkan, dia membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan laporan, van yang terbakar itu digunakan untuk kerja berkaitan kumbahan air dan diletakkan di kawasan parkir yang sama setiap hari.

"Insiden itu dipercayai dilakukan bagi membalas dendam selepas pengadu pernah membuat laporan polis mengenai kejadian pecah masuk stor berdekatan lokasi kejadian, pada 12 Oktober lalu." katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, seorang suspek sudah ditahan susulan laporan mengenai kejadian pecah masuk berkenaan.

"Kita tahan seorang suspek bagi membantu siasatan kes pecah masuk, suspek berusia dalam lingkungan 20-an, tidak bekerja dan ditahan reman selama tiga hari.

"Kes kebakaran disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api," katanya.



Sumber Van terbakar dipercayai bermotif dendam

Post a Comment

Previous Post Next Post