KUALA LUMPUR: Pelaburan antarabangsa Malaysia mencatat kedudukan aset bersih RM21.5 bilion setakat akhir September 2017, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata, jumlah kedudukan aset kewangan telah mengecil sebanyak 1.1 peratus kepada RM1.698 trilion pada akhir suku ketiga manakala jumlah liabiliti meningkat RM1.8 bilion kepada RM1.676 trilion.
Setakat akhir suku kedua 2017, kedudukan aset bersih berada pada RM42.3 bilion, dengan aset kewangan berjumlah RM1.717 trilion dan liabiliti pada RM1.675 trilion.
Sementara itu, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) mencatat RM554.0 bilion berbanding RM573.5 bilion sehingga akhir suku kedua, terutama dalam sektor kewangan dan insurans (34.5 peratus) dan perlombongan (19.6 peratus) dengan Singapura dan Indonesia menjadi destinasi teratas DIA.
Bagi pelaburan langsung asing (FDI), ia telah berkembang kepada RM558.7 bilion berbanding RM556.7 bilion setakat akhir suku kedua dengan Singapura, Jepun dan Hong Kong sebagai negara pelabur terbesar.
Sektor pembuatan kekal penerima tertinggi FDI pada 41.4 peratus, diikuti sektor kewangan dan insurans (21.3 peratus) dan maklumat dan komunikasi, 7.8 peratus.
Setakat akhir September, pelaburan portfolio menunjukkan kedudukan liabiliti bersih RM331.0 bilion, berkurang sebanyak RM13.0 bilion berbanding suku kedua 2017 manakala kedudukan pelaburan lain mencatat liabiliti bersih RM73.0 bilion.
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia pada akhir September berada pada RM427.7 bilion berbanding RM424.8 bilion pada akhir Jun. - BERNAMA
Sumber Aset bersih pelaburan M'sia setakat September, RM21.5b