Impian gadis dua IC ini untuk bergelar doktor tercapai. (Gambar:Sharifah Nur’Insyirah)
Sejak itu Sharifah Nur’Insyirah Saifuddin Shah terpaksa membiasakan dirinya untuk memegang dua jenis kad pengenalan diri yang diperolehnya daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Satu kad pengenalan biasa digunakan untuk memaparkan nama dan maklumat penempatan Sharifah manakala satu lagi kad bertujuan untuk mengesahkan nama penuhnya.
Bagaimanapun pada bulan lalu, beliau sudah boleh menarik nafas lega apabila akhirnya mempunyai satu kad pengenalan. Ikuti pengalaman gadis ini sepanjang mempunyai dua kad pengenalan.
DITAHAN BERJAM-JAM OLEH IMIGRESEN
Sebagai pelajar yang melanjutkan pelajaran di Kursk State Medical University, Russia, cabaran yang diterima Sharifah Nur’Insyirah agak besar.
Menurutnya. beliau mengalami kesukaran apabila melakukan urusan rasmi termasuk berdepan dengan Jabatan Imigresen sama ada dengan kerajaan Rusia atau Malaysia sendiri.
Ada yang tidak percaya keaslian kad berkenaan kerana nama ayahnya diasingkan daripada kad pengenalan asal.
"Paling saya tak boleh lupa ialah ketika urusan melanjutkan pengajian saya ke luar negara beberapa tahun lalu, di mana saya ditahan berjam-jam di Jabatan Imigresen untuk memastikan kebenaran yang saya mempunyai dua pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi Rojak Daily Skop!.
Selain terpaksa meyakinkan orang ramai berhubung ketulenan kad pengenalan, gadis berusia 25 tahun ini juga berdepan masalah jika mengisi borang yang mempunyai ruang yang pendek.
Tambahnya, beliau juga berdepan masalah untuk mengisi maklumat butiran peribadi terutama ketika menjalani ujian peperiksaan.
KINI SEORANG DOKTOR
Menyimpan hasrat untuk bergelar doktor sejak kecil akhirnya tercapai apabila Sharifah Nur’Insyirah berjaya menamatkan pengajiannya di Kursk State Medical University, Rusia, pada Jun lalu.
Kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang perubatan itu sekali gus membolehkan gadis ini bergelar doktor dalam usia yang muda.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu ‘goyang kaki’ sementara menunggu panggilan tempoh latihan ('housemanship') sebaliknya, terus aktif menceburi bidang perubatan yang diminatinya ini.
Ketika ini Sharifah berkhidmat sebagai penasihat kecantikan di sebuah syarikat di Setia Alam dan pada hujung minggu pula, beliau akan bekerja secara sambilan sebagai pembaca berita di sebuah stesen televisyen swasta. Ini bermakna, selain bergelar doktor perubatan, beliau juga boleh digelar doktor selebriti yang pernah menjadi tular di media sosial pada tahun lalu.
PROSEDUR BIASA JIKA KAD PENGENALAN LAMA
Menurut Unit Perhubungan Awam JPN sebelum ini, penggunaan dua kad iaitu kad pengenalan dan satu lagi kad pengesahan nama adalah satu prosedur biasa.
Ia dilakukan sekiranya nama seseorang individu itu agak panjang dan melebihi ruang ditetapkan.
Bagaimanapun, JPN menyatakan ianya hanya ditetapkan untuk kad pengenalan lama memandangkan Mykad kini mempunyai cip simpanan melebihi 80 aksara. Malah, setakat ini tiada lagi penggunaan dua kad membabitkan Mykad.
JPN menasihatkan orang ramai terutama yang masih menggunakan kad pengenalan lama supaya mengemas kini kepada Mykad baru di cawangan terdekat bagi memudahkan segala urusan rasmi.
Sumber Gadis Dua IC Kini Bergelar Doktor Selebriti