Jadi Jutawan Hanya Sebagai Penulis Buku Di Malaysia, Boleh Ke?

Jadi Jutawan Hanya Sebagai Penulis Buku Di Malaysia, Boleh Ke?

Mungkin tidak ramai yang tahu kita juga mempunyai penulis buku yang sudah menjadi jutawan hasil karya mereka. (Gambar: theodysseyonline.com)

Apakah buku terakhir yang pernah kita baca? Mungkin sukar untuk diingati. Bukan sebab terlalu banyak buku yang dibaca tetapi sudah lama tidak membaca buku apatah lagi dalam zaman serba teknologi, segalanya bergantung pada telefon pintar.

Sama ada malas, tiada masa, tidak minat atau tiada buku untuk dibaca bukanlah alasan untuk kita mendidik diri sendiri menjadi seorang yang berilmu. Jangan salah anggap jika beranggapan orang tidak membaca buku itu kurang cerdik.

Sebaliknya, penggunaan platform media sosial sedia ada sebagai medium mendapatkan pelbagai maklumat, cara sebegini menjadi lebih mudah untuk orang ramai membaca. Amalan membaca adalah satu budaya yang sangat positif, begitu juga sekiranya kita mengasah bakat sendiri menjadi seorang penulis.

NASIB PENULIS DI MALAYSIA

Ramai beranggapan kerjaya sebagai penulis bukanlah sehebat mana. Jika bukan menjadi penulis dalam bidang kewartawanan, ia lebih dilabel syok sendiri apatah lagi mengarang novel cinta yang hanya digemari remaja.

Jadi, ke mana hala tuju bidang penulisan kita sebenarnya? Sekadar mengisi masa lapang menulis di laman blog sendiri atau jika berminat boleh menulis novel.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Nafisah Ahmad berkata, bidang penulisan mempunyai pasaran tersendiri dan ini dapat dibuktikan apabila ada penulis novel menjadi jutawan hasil jualan yang sangat laris seperti diulang cetak lebih 10 kali semata-mata untuk memenuhi kehendak pasaran.

"Salah seorang penulis, dicetak untuk kali pertama oleh penerbit untuk 7,000 naskhah, bayangkan bagaimana kehidupan penulis ini sekiranya buku ini diangkat ke satu tahap yang lebih dijadikan drama atau filem," katanya pada acara Roadshow Top 10 Anugerah Telenovela Bersama Media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, PNM sentiasa memastikan buku-buku yang telah dijadikan drama dan filem mesti ada di perpustakaan sebagai sumbangan daripada komuniti perpustakaan untuk memastikan buku-buku ini dapat dibaca masyarakat.

"Kebelakangan ini ramai penulis mampu menerbitkan buku sendiri. Saya ingin memaklumkan inilah sebenarnya hasrat Tan Sri Dr Rais Yatim dahulu apabila kita mewujudkan dana pembelian buku terus daripada penulis dengan kadar semaksimum RM25,000 yang kita bayar terus kepada akaun penulis.

"Hasil daripada dana yang bermula pada tahun 2007, ketika ini kita mendapati jumlah penulis yang menulis buku bertambah dari setahun ke setahun. Kita juga berharap idea daripada penulisan ini bukan saja menjadi industri biasa tapi menjana ekonomi individu yang juga menyumbang pada perkembangan ekonomi negara," katanya.

GUNA GAJET 200 KALI

Senario masyarakat kini lebih memilih media sosial sebagai bahan bacaan dibandingkan berkunjung ke perpustakaan.

Kerajaan sejak sekian lama sedaya upaya menyediakan prasarana terbaik dalam membantu dan menyokong industri pembukuan di negara ini bermula memasukkan teknologi komunikasi ke sini beralih kepada sambungan Internet sehinggalah menyediakan akses kepada aplikasi yang dibangunkan dalam dan luar negara.

"Kerana itu dunia hari ini memerlukan anjakan paradigma dalam pelbagai perspektif dan tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan lampau. Kita perlu adaptasi peredaran teknologi semasa dalam dunia penulisan, tidak boleh memadai dengan cara pemasaran konvensional malah perlu ditambah seiring gaya hidup masa kini," katanya.

Nafisah memberitahu, merujuk pada kajian yang dijalankan We Are Social - New York pada Januari lalu melaporkan, Malaysia mempunyai 22 juta pengguna aktif Internet dan media sosial manakala 88 peratus daripada jumlah ini menggunakan Internet pada setiap hari manakala YouTube, Facebook dan WhatsApp merupakan aplikasi tertinggi yang digunakan masyarakat di negara ini.

"Rakyat kita juga menggunakan gajet sebanyak 200 kali sehari bermakna gajet menjadi teman setia. Melihat daripada data ini, inilah cara hidup masa kini yang mahukan pemain industri membincangkan cara pemasaran bagi menepati gaya hidup pada zaman kini.

"Justeru, kita perlu kreatif menggunakan kemudahan ini untuk memastikan sasaran penulisan ini dapat mencapai okjektif. Saya percaya kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, pihak swasta, badan berkanun, persatuan dan industri pembukuan akan bertambah baik dan kukuh serta mampu menjadi tunjang pada perkembangan industri perfileman tanah air.

"Pada hari ini banyak telenovela yang disiarkan di televisyen diambil daripada pelbagai genre penulisan. Ini merupakan petanda baik bagi industri penulisan dan pembukuan menjadi tunjang pada industri kreatif yang lain," katanya.

MALAYSIA IKUT STANDARD NEGARA MAJU?

PNM mengajak lebih ramai anak muda menceburi bidang penulisan kreatif agar banyak novel berkualiti diterbitkan pada setiap tahun selain fiksyen cinta tetapi mengenai sejarah, budaya dan masyarakat di negara ini.

Merujuk data PNM pada tahun 2016, sebanyak 19,592 judul buku diterima menerusi Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan.  Bagaimanapun, penerbitan judul ini pada setiap tahun harus dipertingkatkan agar lebih banyak sumber boleh dirujukkan untuk dipilih penerbit perfileman selain mencukupkan bahan bacaan kepada masyarakat.

"Jika mengikut standard negara maju, kita seharusnya telah atau sepatutnya memperolehi 32,000 judul buku iaitu 10 peratus daripada jumlah populasi daripada masyarakat negara ini berjumlah 32 juta penduduk.

"Nampaknya, masih jauh perjalanan kita untuk menyemarakkan industri pembukuan. Saranan pengeluar filem bukan hanya mengangkat buku tetapi manuskrip Melayu yang padat dengan nilai kenegaraan.

"Merujuk koleksi di PNM berjumlah 4,886 manuskrip asal tulisan tangan yang dipelihara sehingga kini, ia menjadikan koleksi berkenaan sangat berharga yang mungkin tidak boleh dinyatakan dalam wang ringgit kerana terlalu bernilai dan tiada institusi lain di dunia yang mempunyai jumlah manuskrip atau naskhah Melayu dengan jumlah begitu besar," katanya.

TREND BARU DI CHINA

Penganjuran acara Anugerah Telenovela memberi pengiktirafan kepada filem dan drama adaptasi novel.

Sebagai harapan, PNM mengharapkan masyarakat muda menjelang Transformasi Nasional (TN50) seharusnya mengambil kesempatan melakar idea kreatif masing-masing menerusi penulisan. Sebarang idea yang baik dan bernas harus diketengahkan agar ilmu daripada tenaga kreatif ini dapat disebarkan menerusi buku dan seterusnya diangkat ke televisyen dan filem.

"Jika industri kreatif ini bukan menjadi sumber pendapatan sekurang-kurangnya jadilah ia sebagai sumber pendapatan sampingan kepada kita. Pekerjaan sebagai penulis boleh dilakukan di mana-mana tambahan pelbagai kemudahan ICT ada ketika ini.

"Sesiapa saja pada bila-bila masa, tanpa mengira latar belakang boleh sama-sama menceburkan diri dalam bidang penulisan, hanya mempelajari bentuk tulisan yang diinginkan masyarakat semasa manakala segalanya bermula daripada idea.

"Hari ini kita boleh menulis di pelbagai platform di media sosial, tidak mustahil dengan satu ayat, satu perenggan yang kita tulis hari ini mungkin kita jadi penulis pada satu atau tiga tahun akan datang
kerana permintaan berdasarkan pengikut di media sosial sedia ada.

"Itulah trend sekarang yang ada di China ketika ini, wujud 1 platform untuk rakyat menulis, berdasarkan pada jumlah pengikut di media sosial sehingga mencapai satu tahap buku atau karangannya atau penulisannya di media sosial tersebut akan dibukukan dan diterbitkan untuk masyarakat di sana.

"Kita berada dalam langkah sama, insha Allah pada suatu hari nanti kita dapat atau mampu terbitkan buku berdasarkan permintaan bukan berasaskan pada hasrat dan inspirasi kita. 

"Begitu juga saya berharap usaha Yayasan Pembangunan Buku Negara menganjurkan Anugerah Telenovela ini tepat pada masanya, moga dapat bantu industri kreatif negara ke pasaran lebih luas dan mengangkat penulis ke persada tanah air," katanya.



Sumber Jadi Jutawan Hanya Sebagai Penulis Buku Di Malaysia, Boleh Ke?

Post a Comment

Previous Post Next Post