Majistret Mohd Faizal Ismail menetapkan 27 November depan untuk keputusan kes tersebut setelah pihak pembelaan menutup kesnya pada prosiding pagi ini.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini diberitahu tindakan melepaskan belon pada majlis dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Ogos 2015 tidak terkandung dalam aturcara majlis pada surat jemputan dihantar menerusi emel kepada Bilqis Hijjas.
Bilqis, 37, yang hadir memberi keterangan membela diri di mahkamah hari ini berkata bagaimanapun beliau tidak bersetuju perbuatan itu (melepaskan belon) akan mengganggu upacara pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur yang dihadiri perdana menteri dan isterinya 2 tahun lalu.
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz sama ada perbuatan melepaskan belon yang tidak terkandung dalam surat jemputan dihantar kepadanya seharusnya dihalang, dia menjawab “tidak setuju”.
Majistret Mohd Faizal Ismail kemudian menetapkan 27 November depan untuk keputusan kes tersebut setelah pihak pembelaan menutup kesnya pada prosiding pagi ini.
Pada 1 Julai 2016, Mahkamah Majistret membebaskan Bilqis tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan berkelakuan menghina dengan melepaskan belon pada majlis dihadiri perdana menteri dan isteri pada Ogos 2015 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Namun, Mahkamah Tinggi pada 3 Oktober lalu memerintahkan pengarah tari itu membela diri selaku responden selepas pihak pendakwaan selaku perayu berjaya membuktikan kes prima facie dalam kes tersebut setelah berpendapat Mahkamah Majistret terkhilaf dalam membuat keputusan tersebut.
Pada 23 September 2016, Bilqis yang juga dikenali sebagai ”Gadis Belon” selepas insiden itu didakwa melakukan kesalahan membaling belon-belon dari Aras 5, sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini pada 3.15 petang, 31 Ogos 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, boleh dikenakan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Keputusan kes ‘gadis belon’ ditentukan 27 November ini