Kes, kematian akibat denggi menurun

KUALA LUMPUR: Kes denggi yang direkodkan sehingga 18 November lalu, menurun sebanyak 16.1 peratus iaitu 15,018 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 78,062 kes denggi dilaporkan untuk tempoh itu berbanding 93,080 kes bagi tempoh yang sama pada 2016.

Katanya, data sehingga Sabtu lalu, turut mendapati penurunan kes kematian akibat denggi iaitu sebanyak 163 kematian berbanding 214 kematian (2016).

"Kes kematian akibat denggi menurun sebanyak 51 kematian atau 23.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sementara itu, kes mingguan denggi minggu ke-46, untuk tempoh 12 hingga 18 November lalu mencatatkan 933 kes, adalah kes mingguan terendah sejak 2014," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Noor Hisham menasihatkan orang ramai supaya terus mengambil langkah pencegahan melindungi diri daripada gigitan nyamuk terutamanya apabila melawat kawasan wabak ketika musim cuti sekolah, yang akan bermula minggu depan.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk menggunakan bahan penghalau nyamuk pada bahagian badan terdedah atau mengenakan pakaian menutupi badan.

"Pergerakan orang ramai secara meluas ketika cuti sekolah boleh menyebabkan jangkitan demam denggi lebih cepat merebak, jika ada Aedes di persekitaran mereka. Ambil langkah berjaga-jaga.

"Mereka yang mahu maklumat kawasan wabak dan hotspot denggi, boleh layari aplikasi iDengue, yang boleh dimuat turun melalui aplikasi di telefon bimbit," katanya.

Selain itu, kementerian akan menganjurkan program Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes Siri 2 di seluruh negara secara serentak, pada 2 Disember ini.

Program peringkat kebangsaan akan diadakan pada hari sama di Kampung Baru Jementah, Segamat, Johor dan bakal disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Program membendung penularan kes denggi di seluruh negeri dan daerah itu dijangka membabitkan pelbagai jabatan dan agensi serta masyarakat setempat.

Orang ramai diseru bersama menjayakan program banteras denggi di kawasan masing-masing melalui aktiviti seperti :

-Membersihkan kawasan dalam dan luar rumah

-Membersihkan tanah/lot kosong

-Membersihkan longgokan sampah

-Menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes.



Sumber Kes, kematian akibat denggi menurun

Post a Comment

Previous Post Next Post