Aktres jelita Datin Maria Farida menghela nafas lega apabila kes saman malu terhadap ahli perniagaan kosmetik, Hadijah Mohamed Mokthar berpihak kepadanya di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, di sini hari ini.
Maria atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza, 48, memfailkan tuntutan saman pada tahun 2015 atas dakwaan memfitnah, ugutan dan mengganggu kehidupan peribadinya.
Hadijah yang merupakan bekas isteri suaminya, Datuk Rahman Shakur didakwa berterusan melemparkan fitnah memalukan dirinya di laman sosial semenjak aktres itu mendirikan rumah tangga.
Bercakap kepada Utusan Online, pelakon Lara Aishah berkongsi perasaan gembira dan syukur apabila keputusan mahkamah menyebelahinya.
“Saya tidak boleh berkongsi berapa tuntutan yang pihak di sebelah sana perlu bayar sebagai ganti rugi kepada saya. Kena tunggu kertas kerja dari pihak guaman siap baru boleh tahu lebih lanjut.
“Alhamdulillah, keputusan mahkamah tadi benar-benar buat hati saya lega. Saya harap selepas ini dia tidak lagi mengganggu kehidupan harian saya,” katanya ketika dihubungi.
“Dua tahun saya hidup dalam keadaan terganggu dan kini saya berasa sangat lega,” katanya lagi.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Maria Farida menang kes saman malu terhadap bekas isteri suaminya