Maut kemalangan pada hari terakhir sekolah

KUALA TERENGGANU: Kegembiraan sekumpulan pelajar meraikan hari terakhir persekolahan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Wakaf Beruas, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi, mangsa, Muhammad Fakhrul Hakim Mazlan, 16, menunggang motosikal HONDA EX5 secara konvoi bersama sekumpulan rakan, sebelum dia dikatakan melintasi lampu isyarat merah di situ secara mengejut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata tindakannya itu menyebabkan sebuah kereta MAZDA 6 dari arah Wakaf Mempelam menghala ke Kuala Terengganu gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang cedera parah di kepala dilaporkan koma dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.25 malam tadi," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Terdahulu, video rakaman kemalangan itu serta berita palsu mendakwa mangsa sudah meninggal dunia petang tadi viral di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Sementara itu rakan mangsa, Muhammad Syafiq Abdullah, 15, dari Kampung Pasir Panjang di sini, berkata, mangsa menunjukkan sikap pelik sepanjang hari terakhir di sekolah hari ini.

"Sepanjang waktu persekolahan, Muhammad Fakhrul Hakim begitu mesra dengan kami dan meminta semua rakan menandatangani baju sekolahnya tanda kenangan sempena hari terakhir persekolahan.

"Malah, dia juga banyak menghabiskan masa bersama kami dalam tempoh seminggu ini. Dua minggu lalu, Muhammad Fakhrul Hakim terbabit kemalangan motosikal, namun hanya mengalami cedera ringan di kaki," katanya.



Sumber Maut kemalangan pada hari terakhir sekolah

Post a Comment

Previous Post Next Post