Robben beri bayangan bersara

MUNICH: Pemain sayap Bayern Munich, Arjen Robben membayangkan dia akan bersara hujung musim ini apabila kontraknya bersama kelab juara Bundesliga itu berakhir.

Bintang Belanda itu menamatkan karier antarabangsanya bulan lalu selepas Belanda gagal layak ke Piala Dunia 2018 namun pemain berusia 33 tahun itu tetap menjadi antara tonggak utama buat Bayern.

"Saya tidak tahu mengenai masa depan. Saya mungkin bersara hujung musim ini atau... saya boleh bermain tiga tahun lagi di Bayern," kata Robben dipetik dalam majalah Kicker.

"Apa saja berkemungkinan buat saya," katanya. "Saya hanya melihat perlawanan akan datang, tidak selepasnya. Saya mahu cuba menikmatinya dan bermain di tahap tertinggi selama mungkin."

Robben dibelenggu kecederaan sepanjang kariernya dan mengalami masalah koyak otot di paha kirinya ketika menang 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara di Anderlecht, awal pagi kelmarin.

Dia akan terlepas aksi Bundesliga malam esok menentang Borussia Moenchengladbach berikutan kecederaan itu.

Robben, bekas bintang Chelsea, sudah menang enam kejuaraan Jerman selain Liga Juara-Juara 2013 sejak menyertai Bayern dari Real Madrid pada 2009. - AFP



Sumber Robben beri bayangan bersara

Post a Comment

Previous Post Next Post