'Muzium Hidup' Sarawak gamit pasangan diraja Britain

KUCHING: Ketenangan suasana nyaman dan damai di Kampung Budaya Sarawak (SCV) berubah berbanding hari biasa apabila 'Muzium Hidup' di kaki bukit Gunung Santubong itu buat julung kali menerima kunjungan tetamu yang sangat istimewa dari Britain.

Pasangan diraja, Putera Charles dan isteri baginda, Camilla dapat melihat kepelbagaian etnik Sarawak secara dekat apabila menjejak kaki di perkampungan yang terletak kira-kira 35km dari sini, hari ini.

Suasana amat berbeza sekali bagi warga SCV apabila Putera Wales dan Duchess of Cornwall, diiringi oleh Menteri Pengiring, Datuk Seri S.K. Devamany, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah tiba pada jam 2.30 petang.

Sebaik tiba, rombongan diraja Britain itu disambut oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Hussain, Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang sebelum disajikan dengan persembahan tarian oleh penari SCV yang berpakaian tradisional berwarna-warni.

Pasangan diraja itu kemudian berjalan di laluan kayu untuk menerokai landskap kampung yang ditawarkan di situ dengan harapan baginda berdua dapat berkongsi pengalaman Sarawak dengan dunia luar dengan semuanya dalam tempoh sehari.

Persinggahan pertama baginda berdua adalah Rumah Iban atau rumah panjang Iban bagi mengamati suasana pemandangan dalaman rumah tradisional suku etnik terbesar di Bumi Kenyalang.

Keunikan kediaman rumah panjang dan menjadi adat untuk pengunjung disambut oleh gadis dan pemuda rumah panjang melakukan tarian tradisional serta memainkan alat muzik 'gong' sebagai tanda 'selamat datang' ke kediaman mereka.

Putera Charles kemudian mengadakan sesi dialog tertutup dengan enam pemimpin komuniti dari suku kaum Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Melanau, Cina dan Melayu di Persada Alam manakala Camilla pergi ke Dewan Lagenda untuk menyaksikan pameran kraftangan tempatan.

Sesi tersebut memakan masa 15 minit sebelum pasangan diraja itu pergi ke Rumah Penan dengan Putera Charles begitu teruja apabila mencuba kemahiran baginda menggunakan sumpitan.

Baginda berdua kemudian dibawa ke tasik berhampiran di tengah-tengah perkampungan itu untuk pengalaman menaiki rakit buluh yang menjadi mod pengangkutan harian bagi penduduk di kawasan terpencil di negeri itu.

Pasangan diraja itu kemudian meninggalkan SCV pada jam 3.40 petang untuk meneruskan lawatan di bandaraya Kuching sebelum berlepas ke Pulau Pinang.

-- BERNAMA



Sumber 'Muzium Hidup' Sarawak gamit pasangan diraja Britain

Post a Comment

Previous Post Next Post