Menteri Wilayah Persekutuan berkata pihaknya mengetahui banyak masalah yang gagal diatasi di negeri ditadbir pembangkang.
VIDEO INSIDE
GOMBAK: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembangkang hanya tahu berjanji tetapi tidak dapat menepati janji mereka.
Ini kerana pihaknya mengetahui banyak masalah yang gagal diatasi di negeri yang ditadbir pembangkang, kata menteri Wilayah Persekutuan itu.
“Inilah kerajaan yang ada tuan, puan pilih selama 60 tahun. Janganlah saudara bermain api dengar cerita bukan-bukan dilemparkan oleh puak-puak yang belum berkuasa untuk mendapatkan kuasa.
“Tetapi akhirnya mereka tidak akan berjaya untuk memberi apa yang mereka katakan sebelum mereka mempunyai kuasa.
“Mereka tidak akan dapat selesaikan masalah-masalah yang mereka sebut,” katanya di depan kira-kira 100 penduduk semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Skim Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) di Pasar Besar Gombak hari ini.
Tengku Adnan berkata, kerajaan yang ditadbir Barisan Nasional (BN) akan menepati janji yang diberikan kepada rakyat, dan memikirkan kepentingan dan masalah rakyat.
“Kita ini kerajaan yang datang dari rakyat, kerana rakyat dan untuk rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya juga Tengku Adnan mempertanggungjawabkan Syarikat Alma Ventures Development Sdn Bhd membangunkan semula Pasar Besar Gombak yang lebih moden dan menyediakan komponen perumahan mampu milik itu.
Menurutnya, program pembangunan semula berkenaan akan bermula selepas pengosongan bangunan selesai dilaksanakan.
“Pembangunan semula ini akan melibatkan bangunan komersial berketinggian 9 tingkat yang akan menempatkan lot-lot perniagaan, pasar besar, mini UTC, pejabat Dewan Bamdaraya Kuala Lumpur (DBKL), pejabat kesihatan yang baharu, surau dan dewan serbaguna.
“Pemaju akan turut membina 1 blok kediaman Rumawip berketinggian 44 tingkat,” katanya.
Beliau menambah, sebanyak 900 unit Rumawip akan ditawarkan dengan harga jualan RM298,000 seunit dengan keluasan 815 kaki persegi.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Pembangkang hanya tahu berjanji tapi tak tepati, kata Ku Nan