Pesara tentera maut jatuh periuk air panas

ALOR SETAR: Seorang pesara tentera maut selepas terjatuh ke dalam periuk berisi air panas di Kampung Bukit Teriak, Telaga Emas, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Mohd Rozi Jidin, berkata mangsa Azril Faizal Azmi, 34, yang menghidap sawan dan dipercayai ada masalah mental, bagaimanapun dapat dikeluarkan penduduk kampung sebaik kejadian jam 6.30 petang itu.

"Mangsa tidak sedarkan diri mengalami lecur di bahagian muka dan badan.

"Anggota paramedik yang tiba tidak lama selepas itu, mengesahkan Azril Faizal meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya di sini.

Beliau berkata, bedah siasat dilakukan di HSB dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, di Sungai Petani, seorang remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi bersama 10 rakannya di lombong Taman Sri Astana Fasa D, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata, Mohd Fiqrul Adha Muhammad Fredaus, 13, dari Bandar Sri Astana, di sini, bersama rakan mandi di kawasan terbabit sebelum dilaporkan lemas jam 2 petang.

Katanya, mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang disedari lemas sebelum rakannya cuba membantu, tetapi gagal kerana air dalam.

"Rakannya kemudian meminta bantuan orang awam berdekatan lokasi sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan bomba Sungai Petani.

Mayatnya ditemui kira-kira dua jam kemudian sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)," katanya.



Sumber Pesara tentera maut jatuh periuk air panas

Post a Comment

Previous Post Next Post