Ketika ramai tersentak dan rasa geram apabila Datuk Seri Najib Razak melafazkan kata-kata “kepala bapak kau” di depan perwakilan MCA di Kuala Lumpur semalam, apa yang mereka tidak sedar ialah betapa liciknya perdana menteri berbahasa santun dalam menyampaikan pesanannya.
Sekali dengar ia memang agak kasar, namun terselindung di sebalik kata-kata itulah terpancar kelincahan minda seorang perdana menteri yang kita sanjungi.
Melihat dari jauh kita yakin Najib tidaklah marah – walaupun beliau ada menyatakan kemarahannya sedikit. Sebaliknya perdana menteri mengungkapkan kata-kata itu dengan wajah jernih dan senyum simpul yang menggoda.
Selain seorang tokoh yang disegani – termasuk oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump – beliau juga watak penting yang menggerakkan inisiatif wasatiyyah yang mengutamakan keseimbangan dan kesederhanaan.
Najib ialah seorang presiden parti dan pengerusi BN. Pada kebanyakan masa, waktunya terisi dengan serangan demi serangan pembangkang yang menggunakan maklumat-maklumat palsu. Justeru tidak salah sama sekali untuk beliau berasa marah.
Dan kemarahan itu ternyata sangat sederhana. Berbahasa tegas sambil tersenyum. Tidak ramai tokoh politik yang mampu berbuat begitu pada zaman moden ini.
Tidak banyak yang faham bahawa Najib sebenarnya memanfaatkan seni bahasa Melayu yang kaya dengan bidalan, peribahasa, perumpamaan, tamsil dan pepatah.
Tadah kitab tadah telinga
Ia barangkali natiijah daripada hubungan politik matang beliau dengan PAS yang menggunakan kaedah hampir sama lebih awal.
Siapa yang boleh melupakan dengan mudah kalimah “sekeh kepala mufti” dan “butir tahi DAP” yang pernah diungkapkan dengan penuh indah oleh ulama PAS itu?
Ketika ramai yang marah ilmuwan parti yang jelas kukuh dan mendalam ilmu bahasa Melayu itu mengajar kita bahawa kata-kata berkenaan – yang kedengaran tidak sopan – sebenarnya ialah satu daripada khazanah bangsa yang mesti dipugar dari semasa ke semasa.
Lihat saja bagaimana anggota dan penyokong PAS menerima ilmu yang diturunkan oleh pimpinan parti kepada mereka. Justeru dengan penjelasan minimum mereka terbuka dan mengiyakan bidalan berkenaan.
Selain tekun menadah kitab anggota PAS juga beristiqamah menadah telinga mendengar apa saja ajaran pemimpin mereka.
Atas semangat itulah juga – barangkali – Najib mengungkapkan “kepala bapak kau” di majlis MCA semalam.
Perdana menteri mahu mengajar – secara tidak langsung – mengenai ilmu bahasa Melayu yang indah.
Ketika Tun Dr Mahathir menuduh parti Cina itu sebuah pertubuhan cauvinis Najib menyanggahnya dengan mendidik mereka menggunakan laras bahasa Melayu tinggi.
Sebenarnya ada banyak lagi kalimah bermakna dan indah dalam bahasa Melayu yang menggunakan perkataan “kepala”. Atas kesedaran ia agak banyak dan ruang tulisan yang terhad, di sini disenaraikan serba sedikit perumpamaan dan bidalan berkaitan kepala:
* Bagai udang bertahi di kepala – Orang yang sentiasa berhutang.
* Berselimut kain cukin; ditutup kepala kaki terbuka, ditutup kaki kepala terdedah – Perihal hidup (biasanya rakyat bawahan) yang serba tidak cukup
* Diberi bahu, hendak kepala – Keinginan yang tidak berbatas
* Di mana tempat kutu nak makan kalau bukan di atas kepala – Perbuatan menghabiskan harta ibu bapa, majikan atau negara
* Enau sebatang dua sigainya – Pekerjaan yang dikepalai dua orang, seperti sepasang suami isteri
* Hendak bertanduk kepala dipahat – Demi menunjukkan kemegahan seseorang rela berhutang atau melakukan tindakan yang mendatangkan bencana kepada diri sendiri dan keluarga atau masyarakat
* Jika kepalanya ular, takkan ekornya belut – Orang jahat tetap jahat walau bagaimana sekali pun dilindungi
* Kepala rebah mata melayang, bantal bangkit main wayang – Perihal perempuan membuat kejahatan ketika suaminya leka
* Kepala yu ekor babi – Kelaziman berpura-pura atau bermuka dua
Selain itu ada juga beberapa perumpamaan berkaitan kepala. Contohnya:
+ Keras kepala – merujuk kepada sifat degil dan enggan mengakui kesalahan sendiri
+ Kepala angin – Panas baran, mudah marah atau meradang
+ Kepala air – Deruan air yang biasanya deras, tiba-tiba dan berbahaya. Biasanya di sesebuah sungai yang mengalami hujan di hulunya
+ Kepala tahi – Dipopularkan oleh Datuk Shahnon Ahmad melalui novelnya, Shit!
+ Besar kepala – Angkuh, ego dan tidak berpijak di bumi nyata
+ Kepala penyamun – Ketua sesebuah gerombolan yang kerjanya menjarah harta rakyat
Terbukti perdana menteri baru saja menggunakan sedikit daripada khazanah bahasa Melayu untuk menyampaikan ucapannya yang bernas semalam.
Rugilah buat mana-mana anggota MCA dan rakyat jelata yang terlalai daripada kata-kata hikmah beliau itu.
Kalau tidak kepala puan,
tidak tuan kelapa bali;
kalau tidak kepada tuan,
tidak tuan siapa lagi?
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Sumber: MK
Sumber Ramai tersentak Najib lafaz ‘kepala bapak kau’ depan perwakilan MC,