Bangga kerana ianya melambangkan Malaysia. (Pic: Mohamad Bakar)
Samantha Katie James yang juga peserta Miss Universe 2017 mewakili Malaysia tiba-tiba menjadi sensasi dan hangat diperkatakan apabila gaun ‘nasi lemak daun pisang’ diperkenalkan baru-baru ini menjadi tular.
Tak kurang juga menerima kecaman hebat daripada netizen termasuk juga di kalangan pereka fesyen tempatan apabila gaun rekaan Brian Khoo itu dilihat tidak sesuai untuk digayakan Samantha pada pertandingan terbabit yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat hujung bulan ini.
Samantha ditemui ketika acara pratonton supertelefilem Wanita Terindah arahan Joon Goh baru-baru ini yang turut dilakonkannya menyifatkan apa yang dilaluinya itu tidak langsung memberikan kesan negatif.
“Apa yang saya perlu fikir ialah penyertaan pertandingan itu nanti. Lebih banyak cabaran besar akan saya lalui ketika pertandingan itu diadakan. Saya lihat rekaan itu sangat kreatif. Saya sendiri bangga untuk menggayakannya.
"Jelas, baik atau buruk sesuatu publisiti itu ia tetap publisiti. Itu adalah hakikatnya. Tetapi kita perlu bijak untuk tidak mempedulikan komen tidak membina seperti itu. Sejujurnya ia tidak mengganggu saya pun. Hal ini sebenarnya bukan saja memberi publisiti kepada gaun berkenaan tetapi juga saya sendiri.
“Tak kisahlah apa orang nak cakap, saya yakin ia akan menjadi perhatian dan perbualan nanti. Paling penting saya selesa menggayakan gaun itu dan kena yakin pada acara itu nanti," katanya bersemangat.
Samantha juga menganggap rekaan berkenaan sangat kreatif dihasilkan Brian.
“Kebetulan saya memang minat hasil kerjanya.
"Siapa mungkin terfikir untuk jadikan nasi lemak sebagai inspirasi dalam menghasilkan sehelai gaun yang cantik dan unik,” katanya.
Mengenai dunia lakonannya, dia sendiri teruja diberi kesempatan berlakon dalam supertelefilem yang turut dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura dan Liza Othman itu.
Supertelefilem itu menjadi percubaan ketiganya sebagai pelakon. Terdahulu dia membintangi filem Kastil Tua dan sebuah filem berbahasa Mandarin untuk pasaran negara China.
“Harapnya selepas selesai pertandingan Miss Universe 2017 nanti, saya berharap dapat terus aktif membina nama sebagai pelakon. Saya juga mensasarkan matlamat untuk membina kerjaya di Hollywood,” katanya.
"Wanita Terindah sebenarnya filem ketiga lakonan saya selepas Kastil Tua bersama Josiah Hogan dan sebuah filem berbahasa Mandarin untuk pasaran negara China.
"Saya suka cuba sesuatu yang baharu dan pengalaman berlakon dalam FTV ini adalah pengalaman yang baik untuk saya," katanya.
Selain Samantha, ia turut membariskan pelakon seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Liza Othman, Redzuan Hashim, Adam Mika dan Sarah Hildebrand.
Ia disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 2 November.
Sumber Samantha Katie James Bangga Pakai Gaun 'Nasi Lemak Daun Pisang'