SETIAP selebriti yang pernah bergelar pelakon pasti mempunyai impian yang ingin mereka kecapi selama membabitkan diri dalam dunia hiburan.
Bagi pelakon Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, dia juga tidak terlepas dalam mengimpikan sebuah watak berbeza daripada yang sering ditawarkan kepadanya.
Selepas hampir lima tahun ‘mendiamkan diri’ kerana tidak menerima sebarang tawaran berlakon secara konsisten, kini dia mengimpikan watak serius seperti wanita psiko.
Namun, Enot bagaikan sudah pasrah dan reda menanti tawaran yang nampaknya masih samar bagi dirriya. Tapi pelakon itu masih berharap agar tahun 2018 akan memberi sinar buat kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya bukan mahu meminta simpati tapi saya memang rindu hendak berlakon. Mana tahu dapat jadi heroin berganding dengan Zul Ariffin selepas ini?
Selama 16 tahun saya berkecimpung dalam arena seni, saya asyik ditawarkan watak komedi.
“Dalam hati, saya nak cuba watak lebih serius atau psiko. Saya mahu cabar diri ke tahap yang berbeza,” katanya berseloroh dipetik daripada BH Online.
Walau bagaimanapun, pelakon berusia 39 tahun itu tetap percaya jika tawaran yang diterimanya masih lagi sebagai watak komedi, dia pasti akan menerima apa jua rezeki yang datang.
Sebelum ini, Enot disahkan menghidap penyakit barah usus tahap kedua dan itu menyebabkan dia ‘senyap’ daripada dunia seni. Namun kini dia sudah sembuh sepenuhnya sekali gus tidak menjadi penghalang dia meneruskan kerjaya.
Terkini, Enot sudah berjaya menempuh segala ujian yang diberikan oleh Allah S.W.W dan dia turut berkongsikan kejayaan dalam menurunkan berat badan seterusnya menjadikan dia lebih bersemangat untuk tampil aktif di dalam dunia seni.
Selama enam bulan yang lalu, Enot telah menjadi duta produk pelangsingan badan jenama Lemonex selepas kejayaannya menurunkan berat badan dengan bantuan produk tersebut.
Pelakon drama Bibik Bibikku itu juga turut dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Andriana Balqis, 16, dan Ariana Qaseh Qistina, 10.
“Sepanjang tiada tawaran berlakon, alhamdulillah rezeki saya murah dengan menjual produk itu. Berat badan saya susur daripada 129 kilogram kepada 95 kilogram.
“Pada masa sama, saya menjaga pemakanan. Selepas jam 7 malam, saya elak makanan berat. Saya juga ada buat bisnes kecil-kecilan sebagai perancang majlis sambutan hari jadi dan jual sambal bilis petai hijau,” tambahnya lagi.
Rezeki tu memang ada, cuma cepat atau lambat sahaja. Maklum lah, sekarang ni dah ramai sangat pelakon yang ada sampai tak dapat beza, mereka tu jadi pelakon sebabkan bakat atau sekadar punya raut wajah yang boleh ‘dijual’ di depan kamera sahaja.
Sumber: MYNEWSHUB.CC / AH
Sumber Teringin berganding dengan Zul Ariffin, Enot tunggu tawaran lakonan