107 jabatan kerajaan di Perak lafaz IBR

IPOH: Sebanyak 107 jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negeri ini sudah melaksanakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus, berkata langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri sekali gus membendung gejala rasuah di kalangan kakitangan kerajaan di negeri itu. 

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk bergerak bersama-sama dalam menjalankan usaha membendung rasuah. 

"Selain daripada penguatkuasaan yang dijalankan oleh anggota, ia juga dapat mengurangkan jurang dan merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan SPRM," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis lafaz IBR bersama kakitangan kerajaan negeri di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan hadir bagi mengetuai majlis pembacaan ikrar berkenaan. 

Seramai 60 kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri terdiri daripada Gred 41 dan ke atas hadir bagi membaca lafaz ikrar IBR itu. 

Zainul berkata, kes rasuah termasuk membabitkan kakitangan kerajaan di negeri ini berada dalam keadaan terkawal. 

"Saya menasihati orang ramai untuk bersama-sama membantu dan bekerjasama dalam menangani isu rasuah, ini kerana SPRM kini sudah bersifat mesra rakyat," katanya. 

Sementara itu, Abdul Puhat berkata, kerajaan negeri akan mempererat hubungan bersama SPRM dalam membantu agensi itu memerangi isu rasuah dan integriti khususnya yang membabitkan kakitangan kerajaan di negeri itu.



Sumber 107 jabatan kerajaan di Perak lafaz IBR

Post a Comment

Previous Post Next Post