16,000 asnaf, fakir miskin bakal terima skim insurans takaful

JOHOR BAHRU: Seramai 16,000 golongan asnaf dan fakir miskin bakal terima bantuan skim perlindungan insurans takaful pada tahun hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bantuan itu merupakan usaha sama antara Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Johor Bahru bagi membantu dan melindungi golongan yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata skim itu akan memberi manfaat kepada asnaf yang berusia bawah 60 tahun serta golongan miskin yang berdaftar dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat dan individu yang memerlukan rawatan pakar.

Selain itu, mereka juga akan menerima pembiayaan rawatan hingga RM20,000 serta bantuan khairat kematian sebanyak RM20,000.

"Usaha untuk menjayakan skim ini juga sedang dikemas kini serta diambil tindakan oleh MAINJ dan Pejabat Kebajikan Masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah bagi 2018 kepada pelajar asnaf di Dewan Muafakat, Permas, di sini petang Jumaat.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga memberi bantuan insurans sebanyak RM120 setahun kepada golongan asnaf dan miskin untuk perlindungan meliputi hampir 32 penyakit kronik.

Mengenai bantuan persekolahan hari ini, beliau berkata MAINJ memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi manfaat hampir 30,756 pelajar untuk sesi persekolahan tahun hadapan.

-- BERNAMA



Sumber 16,000 asnaf, fakir miskin bakal terima skim insurans takaful

Post a Comment

Previous Post Next Post