Kim Swee bawa 26 pemain ke Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengumumkan senarai 26 pemain yang dipilih untuk kem latihan pusat selama dua minggu di Mokpo, Korea Selatan bermula 17 Disember. 

Ia adalah sebagai persediaan untuk Kejuaraan B-23 AFC 2018 pada 9 hingga 27 Januari depan di Jiangsu, China.

Berdasarkan senarai tersebut, Kim Swee menggugurkan penjaga gol Amierul Hakimi Awang dari Terengganu FC II; Sean Eugene Selvaraj, Selangor serta Danial Ashraf Abdullah, Kelantan yang mengalami kecederaan.

Mereka merupakan daripada senarai awal 29 pemain yang menjalani latihan pusat selama tiga minggu di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 27 November lalu.

“Selepas mengambil kira semua faktor, satu keputusan yang amat sukar untuk saya lakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini merujuk kepada pengguguran beberapa pemain tersebut. 

Skuad kendalian Kim Swee itu semalam terikat tanpa jaringan dengan Melaka United dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Shah Alam, selepas mereka membelasah PJ Rangers FC 8-2 pada aksi persahabatan pertama di Padang Wisma FAM, Sabtu lepas.

BACA: Kim Swee dalam dilema tentukan senarai akhir pemain

Menurut kenyataan itu, skuad 26 pemain tersebut akan berlepas ke Mokpo pada Ahad ini bagi menjalani latihan serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University pada 22 Disember dan Jeonju Citizen pada 28 Disember.

Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan itu, Kim Swee akan menyenaraikan senarai akhir 23 pemain ke Kejuaraan B-23 AFC 2018, apabila mereka terbang dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Disember untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Januari 2018.

Skuad negara yang dijadualkan tiba di Changshu pada 6 Januari untuk memulakan saingan peringkat Kumpulan C menentang Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Malaysia perlu muncul sebagai dua pasukan teratas kumpulan untuk mara ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada 20 Januari diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari.

-- BERNAMA



Sumber Kim Swee bawa 26 pemain ke Korea Selatan

Post a Comment

Previous Post Next Post