Tak anggap diri legenda. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)
Trofi juara Gegar Vaganza musim keempat yang kini berada kemas dalam genggamannya tidak pernah menjadikan penyanyi Aishah untuk tidak berpijak di bumi nyata. Buktinya, walaupun sering dilabelkan sebagai penyanyi bertaraf legenda, namun bagi si empunya diri, dirinya masih belum layak untuk mendapat gelaran itu.
Ketika sidang media usai konsert Akhir Gegar Vaganza ke-4 yang diadakan di Pinewood Iskandar Malaysia Studio di Iskandar Puteri Johor Bahru baru-baru ini, Aishah cukup merendah diri tatkala ada pihak yang menganggapnya sebagai legenda dan beliau tidak sepatutnya menyertai program itu disebabkan statusnya itu.
“Saya tak rasa yang saya adalah seorang legenda seperti yang sering diperkatakan. Orang lain sahaja yang pandai-pandai nak gelarkan saya sebegitu. Bagi saya kalau nak sampai tahap itu, tunggulah saya mati dulu baru boleh kata saya legenda.
“Tapi kalau peminat nak gelarkan saya begitu, saya tak boleh nak kata apa. Saya terima sahaja. Bagaimanapunj niat saya ketika menyertai program ini hanyalah satu iaitu saya hanya mahu menyanyi dan menghiburkan anda semua,” kata pemilik nama Wan Aishah Wan Ariffin ini kepada Rojak Daily Kaw!
Menyorot kembali apa yang dilaluinya sepanjang berada dalam program itu, Aishah mengharapkan pengorbanannya itu mampu memberinya ruang untuk terus berkarya pada masa hadapan.
"Saya hanya mahu menyanyi dan selama ini kalau menyebut nama saya pun, orang akan ingat saya sebagai seorang penyanyi.
"Tidak dinafikan, kemenangan ini memberikan makna yang cukup besar buat saya dan saya harap peluang akan terus diberikan untuk saya menghiburkan peminat dalam semua ruang dan medium yang ada. Nilailah seseorang itu berdasarkan bakat dan bukannya perkara lain," pinta penyanyi Janji Manismu ini.
Tidak dinafikan, impak yang diberikan GV ke atas pesertanya cukup besar dan kata Aishah dia sudah mula merasai kesannya.
"Undangan untuk membuat persembahan semakin banyak diterima dan apa yang menggembirakan, ada juga pihak yang sudah merisik untuk menawarkan saya mengadakan konsert di Singapura.
"Selain itu, peminat saya juga semakin ramai dan saya sendiri terkejut apabila ramai golongan kanak-kanak juga mula mengenali saya. Lucu juga bila saya ke masjid, mereka memanggil nama saya Aishah.
"Sekarang ini, kalau berjalan ke mana-mana, memang ramailah yang nak selfie. Saya layankan saja," katanya sambil ketawa.
Ditanya apakah yang akan dilakukan dengan hadiah kemenangannya itu, Aishah berkata wang berjumlah RM100,000 itu akan disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
"Jadi artis ini mana ada duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain dan wang kemenangan inilah yang akan saya simpan sebagai simpanan untuk akan datang.
"Hadiah yang paling saya suka dan tertunggu-tunggu adalah sebidang tanah lot. Memang dari dulu lagi saya bercita-cita nak buat rumah yang tak ada tangga. Tak larat nak memanjat bila usia semakin meningkat ini," guraunya.
Sumber Aishah Tidak Pernah Anggap Diri Sebagai Seorang Legenda