Alif tak selesa menumpang populariti

BEKAS anggota kumpulan Sleeq, Muhammad Alif Abdullah atau Alif tidak terkilan walaupun namanya masih lagi dikaitkan dengan kumpulan itu sedangkan dia kini sudah bergerak solo.

Penyanyi berusia 28 tahun itu muncul dengan lagu baru berjudul Buat Selamanya bagaimanapun berharap agar lagu itu dapat membantu menjenamakan semula kerjayanya sebagai penyanyi solo.

“Tidak ada rasa terkilan kerana hakikatnya saya mula dikenali dengan kumpulan itu. Sepuluh tahun saya menjadi anggota Sleeq, untuk membina identiti sendiri itu bukannya mudah.

“Saya tidak tahu sampai bila nama saya akan dikaitkan dengan kumpulan Sleeq. Saya tidak ada kuasa untuk menghalang peminat untuk terus memanggil saya sebagai Alif Sleeq,” katanya.

Bagaimanapun, ada perbincangan yang dibuat untuk mengekalkan nama Sleeq namun Alif kurang selesa kerana tidak mahu dikatakan menumpang populariti kumpulan terbabit.

“Ada juga ura-ura agar saya terus kekalkan nama sebagai Alif Sleeq namun secara peribadi ia membuatkan saya kurang selesa.

“Tambahan pula genre lagu yang saya nyanyikan kini jauh berbeza dengan Sleeq. Biarlah saya perlahan-lahan naik dengan lagu Buat Selamanya,” tegasnya.

Alif pernah bergabung dengan sepupunya, Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah membentuk kumpulan Sleeq sejak 2005. Bagaimanapun, kumpulan itu dibubarkan pada 2015.

Sleeq meraih populariti di Malaysia selepas berkolaborasi dengan penyanyi Najwa Latiff menerusi lagu Untuk Dia.



Sumber Alif tak selesa menumpang populariti

Post a Comment

Previous Post Next Post