Amerika biadap pindah kedutaan — Raja Kamarul Bahrin

7 DISEMBER — Amanah mengecam sekeras-kerasnya tindakan Presiden Donald Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis. 

Sejak menjadi presiden beliau bukan menjadi pendamai tetapi menjadi punca tercetus ketegangan dan persengketaan di Timur Tengah dan juga di Asia terutamanya di Korea. 

Hak orang Islam sedunia tercabar dan maruah kami tercalar teruk hari ini. 

Baitulmaqdis adalah isu terpenting menyelesaikan isu rakyat Palestin dan Islam sedunia. 

Amerika adalah musuh nyata orang Islam dan Palestin dengan tindakan ini yang kami kutuk sekeras-kerasnya. 

Hari ini mereka mereka yang memilih menjadi sekutu rapat Amerika adalah musuh umat Islam. 

Kami menuntut kerajaan Malaysia menghantar bantahan keras ke Amerika atas tindakan memindah kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Datuk Seri Najib Razak sering mengumumkan hubungan baik dan istimewa beliau dengan Donald Trump. Jika benar hubungan tersebut begitu baik, beliau patut menggunakan hubungan istimewa tersebut untuk mempengaruhi polisi Trump untuk kebaikan umum umat Islam sedunia.

Baik dalam isu pengisytiharan pengharaman umat Islam negara tertentu memasuki Amerika sehingga hasrat Trump memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis, Najib membisu seribu bahasa. 

Beliau kelihatan lagi mengutamakan hubungan peribadi beliau dengan Trump supaya tidak terjejas daripada menggunakannya untuk kepentingan umum umat Islam. 

Ini adalah sikap mementingkan diri dan bukan sikap seorang pemimpin Islam yang berjuang dan berkorban untuk umat Islam sedunia. 

Adakah ini sikap seorang pemimpin yang kita boleh berbangga membela Islam atau yang patut kita ganti? Seluruh dunia dan Malaysia memerhati kelemahan kepimpinan Najib yang amat mendukacitakan.

Adakah Malaysia mempunyai pendirian dalam isu yang melibatkan salah satu tempat terpenting untuk dunia dan umat Islam ? Adakah Umno yang sedang mempunyai mesyuarat agung membuat pendirian rasmi tentang isu ini?

Umno sudah tidak relevan lagi, begitu juga Najib, dan Malaysia menjadi makin tidak relevan dan tenggelam terus jauh berbanding pada zaman Tunku Abdul Rahman yang pernah menerajui OIC dahulu. 

Apakah pendirian Malaysia dalam isu Amerika memindah kedutaannya ke Baitulmaqdis?

Najib hanya berani boleh menjuarai Islam di Malaysia sahaja seperti seorang jaguh kampung. Di pentas antarabangsa Malaysia sudah tidak lagi relevan di bawah kepimpinan Najib. Itulah nasib Malaysia hari ini selepas 60 tahun merdeka.

* Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad, seorang pemimpin kanan Parti Amanah Negara Terengganu, adalah ahli parlimen Kuala Terengganu.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.



Sumber Amerika biadap pindah kedutaan — Raja Kamarul Bahrin

Post a Comment

Previous Post Next Post