Asfan 'sinsing lengan' urus anak

KUALA LUMPUR: Kelahiran anak ketiga dan single baharu, Sumpah Cintaku yang berlaku serentak, membuatkan Asfan terpaksa 'menyinsing lengan' mengatur jadual harian bagi mengurangkan beban isteri.

Asfan memberitahu, seboleh mungkin, dia akan cuba menguruskan keperluan anak-anak sebelum keluar bekerja.

"Semuanya berlaku serentak iaitu promosi single baharu dan dikurniakan anak ketiga, Ali Binyameen Shah. Kalau diikutkan, memang jadual promosi sudah ada.

"Namun, sejak awal lagi, saya dan pihak pengurusan sudah memperincikan pelan B. Rasanya, setakat ini semuanya lancar kerana saya masih dapat membantu apa yang patut sebelum keluar bekerja," katanya kepada BH Online.

Tambah Asfan, dia perlu bijak melayan kerenah anak-anak yang memerlukan perhatian apatah lagi isterinya masih berpantang dan sibuk mengasuh anak bongsu.

"Ada kalanya anak-anak yang masih kecil ini meragam dan mahu mengikut saya bekerja.

"Bagi saya tiada masalah kerana pada masa sama kami dapat menghabiskan masa berkualiti," katanya.

Asfan berkata, kelahiran putera ketiga pada 17 November lalu membuatkan dirinya sentiasa meluangkan masa bersama dua lagi permata hati mereka, Ali Haytham Shah, 4, serta Ali Wakeel Shah, 2.

Malah, Asfan menambah, dia membawa Haytham dan Wakeel menemaninya di sesi fotografi sementara isterinya berehat di rumah bersama si kecil.

"Sebagai anak yang belum memahami apa-apa, mereka mungkin terasa perhatian sudah beralih kepada si kecil.

"Jadi membawa mereka keluar antara cara menunjukkan kasih sayang kami yang tidak berkurang sekelumit pun," katanya.



Sumber Asfan 'sinsing lengan' urus anak

Post a Comment

Previous Post Next Post