Diskriminasi kenaikan pangkat pekerja wanita masih serius

KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa diskriminasi gender pekerja wanita dalam isu kenaikan pangkat masih serius walaupun memiliki markah prestasi kerja yang sama dengan lelaki.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, banyak aduan yang diterima pihaknya membabitkan diskriminasi gender pekerja wanita berhubung pengambilan kerja, kenaikan gaji serta kenaikan pangkat.

Katanya, walaupun ada syarikat yang memenuhi kuota 30 peratus mengikut peraturan dan saranan kerajaan bagi menyokong konvensyen Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO), namun tidak memenuhi kuota kenaikan pangkat peringkat pengurusan.

"Situasi ini berlaku kerana ada majikan yang masih menganggap pergerakan wanita terhad, komitmen keluarga dan lain-lain yang menjejaskan prestasi kerja pada masa akan datang.

"Perasaan 'yang penting ada kerja' serta tidak menjejaskan hal keluarga menyebabkan kebanyakan pekerja wanita tidak memperjuangkan hak mereka mengikut Akta Kerja 1955 yang menyenaraikan 11 perkara perlindungan hak wanita di tempat kerja.

Hakikatnya, tenaga kerja wanita amat diperlukan kerana kajian mendapati wanita lebih bersikap amanah terhadap tugas, lebih berdaya tahan secara mental dan fizikal serta lebih kreatif dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pada ketika ini sangat sukar melihat organisasi swasta melantik pekerja wanita menerajui peringkat pengurusan dan pentadbiran kecuali syarikat berkenaan dimiliki ahli keluarga sendiri.

Katanya, budaya diskriminasi berkenaan menyebabkan wanita di negara ini yang memiliki kelulusan akademik cenderung memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya berbanding menyertai bidang lain sedangkan mengikut akta, wanita dibenarkan bekerja semua bidang kecuali sektor perlombongan.

"Walaupun Malaysia menyokong ILO berhubung penetapan peratusan pekerja wanita, namun pelaksanaannya masih lemah tidak seperti negara maju yang lain.

"Persepsi majikan terhadap keupayaan dan kecekapan wanita perlu berubah, kerana wanita dianugerahkan kelebihan tersendiri contohnya memiliki semangat yang kuat untuk bekerja dalam masa sama melahirkan dan menguruskan keluarga.

"Apa yang majikan perlu lakukan adalah memberi sokongan, hapuskan diskriminasi, beri peluang melihat sejauh mana pekerja wanita berkenaan boleh mengurus atau mentadbir syarikat," katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan Kementerian Sumber Manusia supaya melakukan pemeriksaan mengejut terhadap organisasi-organisasi berkenaan bagi memastikan pengambilan kerja wanita serta isu kenaikan pangkat mencapai kuota yang ditetapkan.

Katanya, ia bagi memastikan kuota 30 peratus pekerja wanita tercapai selain menggalakkan pematuhan kuota dua peratus kepada golongan kurang upaya supaya budaya diskriminasi di tempat kerja dapat dihapus secara menyeluruh.

"Kerajaan  turut dicadangkan memberi insentif seperti pengecualian atau pengurangan cukai kepada majikan yang berjaya mematuhi saranan sebagai galakan kepada majikan lain untuk mengambil langkah yang sama.

"Contohnya, di sebuah syarikat perkapalan sudah ada pengambilan pekerja wanita sebagai pengurus sumber manusia dan ia sepatutnya menjadi contoh yang baik.

"Selain itu, wanita diingatkan perlu tahu hak dan perlindungan mereka di tempat kerja contohnya tidak boleh bekerja melebihi jam 11 malam selain tidak boleh keluar bersendirian jika mendapat tugasan malam di luar pejabat," katanya.



Sumber Diskriminasi kenaikan pangkat pekerja wanita masih serius

Post a Comment

Previous Post Next Post