SPR boleh teruskan inkuiri tempatan di Selangor

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengendalikan inkuiri tempatan bagi cadangan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Ia berikutan Mahkamah Rayuan hari ini, membenarkan permohonan SPR mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan permohonan kerajaan negeri menggantung sementara inkuiri tempatan di negeri itu.

Keputusan hari ini dicapai penghakiman majoriti melalui panel diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Idrus Harun, bersama Datuk Yaacob Md Sam manakala Datuk Rhodzariah Bujang menentang.

Idrus dalam penghakimannya berkata, permohonan dikemukakan SPR mempunyai merit.

"Mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh, yang mewakili SPR bahawa kesan perintah penggantungan itu akan menghalang SPR daripada menjalankan fungsinya," katanya.

Terdahulu, Amarjeet dalam penghujahan berkata, SPR ketika melaksanakan tugas dalam merumuskan cadangan (bagi persempadanan semula), ia sebenarnya menjalankan sebahagian fungsinya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk pihak legislatif.

Beliau berkata, fungsi legislatif tidak boleh dicabar di mahkamah.

Dalam prosiding itu, kerajaan negeri diwakili peguam Datuk S Ambiga.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan negeri menggantung sementara proses inkuiri tempatan bagi kawasan Parlimen dan DUN Selangor, sehingga rayuan semakan kehakimannya diputuskan.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Selangor bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN yang dijalankan SPR di negeri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan itu selepas mendapati ia terikat kepada dua keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa kerajaan negeri tiada hak dari segi Perlembagaan, untuk mencabar kemunasabahan cadangan persempadanan semula, walaupun skop semakan kehakiman sudah diperluas.

Dalam penghakimannya, Azizul Azmi berkata, pemohon semakan kehakiman mengikut Perintah 53 Peraturan 2(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 perlu membuktikan ia terjejas teruk oleh keputusan atau tindakan berkaitan fungsi dan tanggungjawab awam membabitkan proses persempadanan semula



Sumber SPR boleh teruskan inkuiri tempatan di Selangor

Post a Comment

Previous Post Next Post