Dr M sebagai PM tambah celaru

KUALA LUMPUR : Pemilihan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri akan menimbulkan pelbagai ketidaktentuan kepada amalan demokrasi dalam negara.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata biarpun jawatan perdana menteri itu dipilih berdasarkan konsensus sokongan ahli parlimen dalam Dewan Rakyat, namun persoalan yang timbul adalah sejauhmana keupayaan parti itu untuk memperoleh kemenangan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam situasi ini, kata beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum lagi terbukti mampu memenangi banyak kerusi dan menjadikan ia parti yang mendominasi Pakatan Harapan.

"Parti itu (PPBM) adalah baharu dan masih tidak dapat diukur dari segi tahap sokongan yang mereka akan peroleh dalam pilihan raya nanti.

"Walaupun pemilihan jawatan perdana menteri itu hanya memerlukan persetujuan oleh semua (wakil rakyat Pakatan Harapan), realitinya ia membawa justifikasi sukar.

"Bagaimana parti yang mungkin menang sedikit kerusi tapi boleh mencalonkan perdana menteri, biarpun tak mustahil, nampak sangat pelik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas cadangan PPBM dalam perhimpunan agung tahunannya semalam, mahu Dr Mahathir dipilih sebagai perdana menteri, biarpun parti itu baru ditubuhkan dan tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Nik Ahmad yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), berkata, satu lagi kebimbangan, akan wujudnya tuntutan keterlaluan antara parti dalam Pakatan Harapan terutama yang memenangi banyak kerusi di Dewan Rakyat.

Katanya, situasi inilah yang akan menjejaskan tadbir urus sebuah kerajaan memerintah, malah dikhuatiri akan menimbulkan kecelaruan serta ketidaktentuan terhadap pelaksanaan dasar-dasar yang akan dirangka.

Mengulas cadangan perdana menteri sementara, beliau berkata ia sama sekali tidak memberi jaminan terhadap kestabilan struktur sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Menjawab persoalan mengenai pertembungan sentimen Dr Mahathir dan Najib Razak dalam PRU akan datang, beliau berkata walaupun ketokohan seseorang individu itu boleh menjadi faktor menarik undi, institusi kepartian tetap menjadi sandaran utama pengundi dalam membuat keputusan.

"Di kebanyakan kerusi, faktor parti ini dilihat lebih dominan berbanding tokoh. Seseorang tokoh besar, walaupun ia dikenali, untuk mendapat sokongan yang banyak mungkin sukar jika dia menduduki sebuah parti baharu," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata jika mahu Dr Mahathir dilantik perdana menteri Pakatan Harapan, beliau perlu bertanding dahulu dan mesti menang.

Beliau berkata, dalam kalangan pembangkang ketika ini, agihan kerusi akan mendatangkan masalah dan PPBM sebagai parti baharu perlu bergantung harap pada parti lain untuk berkompromi.



Sumber Dr M sebagai PM tambah celaru

Post a Comment

Previous Post Next Post